Judi Siber: Lima dicekup

PADAH: Dua daripada yang diberkas dalam serbuan polis di Sepupok, Niah.

PADAH: Dua daripada yang diberkas dalam serbuan polis di Sepupok, Niah.

MIRI: Sebanyak 14 unit komputer berserta peralatan jalur lebar dianggarkan bernilai RM30,000 dirampas hasil serbuan polis ke atas sebuah premis di Sepupok, Niah kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi siber.

Berikutan itu, polis turut memberkas lima lelaki berusia antara 21 dan 30 tahun yang sedang berada di premis tersebut.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Dev Kumar berkata dua daripada lelaki itu dikenal pasti sebagai pengusaha premis, manakala tiga yang lain merupakan pelanggan.

Menyentuh lanjut mengenai serbuan itu, beliau berkata sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai Asisten Superintenden (ASP) Soliment Nyian telah menyerbu sebuah premis terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai baharu di Sepupok, Niah kerana dipercayai ada menjalankan kegiatan judi siber.

“Hasil serbuan dilakukan jam 10.45 malam itu (kelmarin), polis berjaya memberkas lima lelaki, dua daripadanya dikenal pasti sebagai pemilik premis.

“Selain itu, polis turut merampas sebanyak 14 unit komputer diguna untuk kegiatan judi siber, peralatan jalur lebar serta wang tunai RM1,604 yang dijumpai di kaunter premis untuk dijadikan barang kes,” katanya.

Sehubungan itu kata Dev, pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001 kerana membenarkan premisnya dijadikan tempat perjudian serta menjalankan kegiatan judi siber tanpa lesen sah.

Manakala tiga pelanggan terbabit masing-masing disiasat mengikut Seksyen 6 (1) ARJT 1953.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/12/judi-siber-lima-dicekup/