Judi siber: 9 dicekup, peralatan dirampas

TUMPAS: Antara suspek diberkas dalam serbuan polis ke atas premis judi siber di Kampung Bakam.

TUMPAS: Antara suspek diberkas dalam serbuan polis ke atas premis judi siber di Kampung Bakam.

MIRI: Sembilan lelaki diberkas dan beberapa unit komputer serta peralatan jalur lebar bernilai RM22,000 dirampas hasil serbuan polis ke sebuah rumah di Kampung Bakam di sini disyaki menjalankan kegiatan judi siber.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Dev Kumar berkata seorang daripada lelaki itu dikenal pasti sebagai pemilik premis berkenaan manakala lapan yang lain merupakan pelanggan.

Dalam serbuan itu katanya, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai Asisten Superintenden (ASP) Soliment Nyian telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Bakam kerana dipercayai ada menjalankan kegiatan judi siber.

“Hasil serbuan dilakukan sekitar jam 10 malam kelmarin, polis berjaya memberkas seramai sembilan lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun.

“Seorang daripadanya dikenal pasti sebagai pemilik premis manakala lapan lagi adalah pelanggan.

“Semasa serbuan, lapan pelanggan terbabit sedang leka bermain judi siber tanpa menyedari kehadiran polis,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam.

Dalam serbuan sama katanya, polis turut merampas sembilan unit komputer yang diguna untuk kegiatan judi siber, peralatan jalur lebar serta wang tunai RM111 dijumpai di kaunter premis untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu kata Dev, pemilik premis akan disiasat di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001 kerana membenarkan premisnya dijadikan tempat perjudian serta menjalankan kegiatan judi siber tanpa lesen sah.

Manakala lapan pelanggan terbabit masing-masing disiasat mengikut Seksyen 6 (1) ARJT 1953.

“Walaupun operasi dilakukan secara berterusan oleh pihak polis, namun kita dapati masih ada beberapa premis judi siber Miri ingkar arahan tutup dan terus beroperasi secara haram,” ujarnya.

Sehubungan itu kata beliau, Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak, Dato’ Sri Muhammad Sabtu Osman sekali lagi memberi amaran kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini untuk memastikan semua bentuk aktiviti perjudian di kawasan masing-masing harus dibanteras sehabis-habisnya.

Ini termasuk mesin permainan ikan dan juga kasino mini.

Malah menurut Dev, BSJ Sarawak telah menghantar pasukannya untuk turun padang bagi memastikan arahan ini dipatuhi sepenuhnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/10/judi-siber-9-dicekup-peralatan-dirampas/