Judi: Polis Miri serbu pusat hiburan

Oleh Rosemaria Buma//

RAMPAS: Anggota polis mengangkat mesin permainan video yang dirampas
hasil serbuan di sebuah premis di Miri malam kelmarin.

RAMPAS: Anggota polis mengangkat mesin permainan video yang dirampas hasil serbuan di sebuah premis di Miri malam kelmarin.

MIRI: Dua unit mesin permainan video antara yang dirampas hasil serbuan polis ke atas sebuah pusat hiburan di sini malam kelmarin kerana dipercayai menjalankan aktiviti perjudian video.

Dalam serbuan sama, polis turut menangkap seorang penjaga premis berusia 18 tahun untuk membantu siasatan lanjut.

Berikutan itu, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Khoo Leng Huat dalam kenyataan akhbarnya mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

Katanya, bertindak atas maklumat sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri diketuai ASP Koay Kok Ping membuat serbuan ke sebuah kelab di sini.

“Dalam serbuan jam 10.30 malam itu, polis menahan seorang remaja lelaki kerana dipercayai menjalankan aktiviti permainan judi video,” katanya.

Menurut Khoo, polis turut merampas dua unit mesin permainan video, dua kad pengimbas kredit mesin simulator dan wang tunai RM300 untuk dijadikan barang kes.

Sehubungan itu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/21/judi-polis-miri-serbu-pusat-hiburan/