JPS kaji kawasan kerap banjir kilat di bandar utama


(bharian.com.my) #1

MIRI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak akan menjalankan kajian di semua kawasan kerap berlaku banjir kilat di bandar utama negeri ini, termasuk di Miri.

Pengarahnya, Chook Moi Son berkata, kajian itu adalah sebahagian perancangan jangka panjang yang akan dilakukan jabatan itu bagi menghindarkan masalah banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar.

Beliau yang mengetuai jawatankuasa teknikal mengatasi banjir kilat berkata, kajian itu memerlukan tempoh masa yang agak lama.

"JPS akan merangka pelan induk untuk memastikan masalah banjir kilat yang kerap mengakibatkan kemusnahan harta benda dapat dikurangkan pada masa depan.

“Kita juga mempunyai pendekatan jangka panjang untuk memastikan masalah sama tidak akan berlarutan di kawasan bandar utama seperti di Miri baru-baru ini,” katanya ketika melawat kawasan banjir kilat di sini, hari ini.

Mengenai banjir kilat di Taman Tunku, Eco Park dan Tukau, Chook berkata, JPS akan memastikan masalah parit tersumbat di kawasan itu diatasi segera dan dibersihkan.

Beliau berkata, masalah parit tersumbat juga punca dikenal pasti antara punca banjir kilat berlaku di tiga kawasan itu.

“Kita sudah mengarahkan supaya kerja pembersihan dilakukan terhadap parit yang tersumbat di kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihak berkuasa tempatan diminta supaya memastikan semua kolam takungan banjir sedia sentiasa dalam keadaan bersih.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/02/388070/jps-kaji-kawasan-kerap-banjir-kilat-di-bandar-utama