JPAM dan JBPM sedia hulur bantuan berdepan bencana

TAKLIMAT: Ketua-ketua masyarakat mendengar taklimat persiapan menghadapi bencana oleh agensi kerajaan berkaitan di Miri semalam.

TAKLIMAT: Ketua-ketua masyarakat mendengar taklimat persiapan menghadapi bencana oleh agensi kerajaan berkaitan di Miri semalam.

MIRI: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia menghulurkan bantuan berdepan bencana ketika musim tengkujuh ini.

Pembantu Pegawai JPAM Miri Staf Muda (SM) Luke Doughlas berkata pihaknya bersama agensi kerajaan berkaitan komited membantu orang awam berdepan bencana alam.

“Kami telah memberi taklimat persiapan menghadapi bencana kepada ketua-ketua masyarakat di sekitar Miri supaya mereka tahu saluran tepat mendapatkan bantuan,” katanya di sini semalam.

Taklimat itu dihadiri lebih 100 ketua masyarakat dari Miri, Niah, Suai dan Bekenu, anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri (JKM) di sini semalam.

Luke berkata, taklimat berkenaan penting supaya orang awam tahu fungsi dan peranan agensi kerajaan berkaitan terutama ketika menghadapi bencana.

“JPAM bagaimanapun bersedia dalam pelbagai cara termasuk membantu bomba dan JKM mengawal situasi bencana,” jelasnya.

Sementara itu, wakil JPBM Zon 6 Muhd Nazmi Nawang memohon kerjasama orang awam menyalurkan informasi atau maklumat tepat apabila diminta.

Ini penting bagi memastikan bomba mendapat informasi tepat seterusnya menggerakkan bantuan sewajarnya bergantung kepada situasi bencana.

“Kita juga bersama agensi-agensi lain bersedia menghulurkan sebarang bantuan atau keperluan terutama berkaitan keselamatan orang awam,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/10/jpam-dan-jbpm-sedia-hulur-bantuan-berdepan-bencana/