Jelajah Pendidikan Bumiputera diperluas ke Sarawak

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) yang memberikan peluang kedua kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menyambung pengajian ke peringkat diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta kini diperluaskan ke Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri berkata,Sarawak akan menjadi lokasi terakhir JPB di Miri yang akan menutup tirai jelajah pada 2 Mei depan.

"Saya tahu bahawa JPB ini adalah satu langkah untuk mewujudkan peningkatan status sosial kepada anak-anak Bumiputera yang secara langsung akan mempertingkatkan status sosial kepada isi rumah dan keluarga.

“JPB ini bukan hanya membabitkan lepasan pelajar di kawasan bandar dan pinggir bandar tetapi juga di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian JPB 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk (SABDA) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Menteri Mentor JPB, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengarah Jawatankuasa Induk JPB, Prof Tan Sri Dr Sahul Hamid Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa JPB yang sudah dilaksanakan sejak 2016 bukanlah kempen pilihan raya sebaliknya usaha berterusan kerajaan dalam memberikan peluang pendidikan kepada Bumiputera.

"Saya ingin menegaskan bahawa JPB bukanlah kempen pilihan raya kerana ia sudah bermula sejak 2016 lagi dan saya berharap Prof Sahol akan buat dan laksanakan lagi pada tahun hadapan.

“Ia bukan agenda pilihan raya tetapi agenda untuk mewujudkan mobiliti sosial secara vertikal untuk anak-anak Bumiputera seluruh negara,” katanya.

JBP 2018 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pada 14 Mac lalu, akan menjelajah 28 lokasi membabitkan 92 kawasan Parlimen di seluruh negara dengan Bagan Datuk menjadi lokasi pertama, manakala Miri menjadi lokasi terakhir.

Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan JPB hari ini, turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta kepada JPB yang mensasarkan pendaftaran 65,000 pelajar ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada penganjurannya kali ini.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, diharapkan JPB 2018 akan berjaya mencapai sasaran mendaftarkan 65,000 pelajar untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tingga swasta (IPTS).

Katanya, sebanyak 37 institusi membabitkan 20 IPTA dan 17 IPTS mengambil bahagian dalam JPB kali kali ini.

Beliau berkata, penganjuran JPB adalah cetusan idea dan ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana hanya melalui pendidikan rakyat dapat diperkasakan.

“Melalui JPB yang dianjurkan pada 2016 dan 2017 kami sudah berjaya memberikan peluang kedua kepada seramai 98,354 peluang kedua kepada pelajar Bumiputera untuk memasuki IPTA dan IPTS bagi mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/403217/jelajah-pendidikan-bumiputera-diperluas-ke-sarawak