JBPM laksana enam projek rumah di bawah NBOS

Oleh Mohd Shafik Ahmad//

LAWAT: Nor Hisham ketika melawat projek pembaikan rumah pesara di Kampung Semariang Jaya, semalam.

LAWAT: Nor Hisham ketika melawat projek pembaikan rumah pesara di Kampung Semariang Jaya, semalam.

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak sedang melaksanakan enam projek pembinaan rumah di bawah insiatif Strategi Lautan Biru Negara (NBOS) pada tahun ini.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata semua projek tersebut membabitkan empat projek pembinaan semula rumah yang musnah terbakar manakala dua lagi merupakan projek penambahbaikan di bawah Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

“Kita di JBPM diamanahkan untuk melaksanakan lima projek di seluruh negeri Sarawak yang sedang dilaksanakan di Kuching, Samarahan dan tiga buah rumah di Miri,” katanya.

Hisham berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan lawatan Projek Bantuan Membaik Pulih Rumah Pesara Negeri Sarawak di bawah inisiatif 1Pesara di Kampung Semariang Jaya, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya JBPM telah menyiapkan lima projek sama pada tahun lalu, sementara lima lagi diserahkan kepada Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk dilaksanakan.

“Bagaimanapun, jumlah projek yang diluluskan untuk tahun ini belum diketahui,” katanya.

Hisham berkata projek baik pulih rumah seorang pesara kerajaan, Ali Satem, 68, dipilih kerana datang dari kategori miskin tegar.

Mengambil kira keperitan dan kesusahan hidup Ali yang hanya bergantung kepada pendapatan pencen berjumlah RM800 sebulan untuk menampung sembilan ahli keluarga termasuk seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut Hisham, peruntukan berjumlah RM12,000 disalurkan oleh kerajaan untuk melaksanakan kerja membaiki dapur, tingkap pintu dan bumbung yang bocor.

“Selain itu terdapat tambahan peruntukan berjumlah RM2,000 untuk keperluan lain seperti membayar sewa peralatan.

“Namun setelah mengambil kira semua aspek, kita dapati kos pembaikan diperlukan adalah melebihi daripada apa yang diperuntukan,” katanya.

Projek pembaikan rumah tersebut dijangka siap dalam tempoh 14 hari selepas dimulakan 6 Januari lalu yang membabitkan empat tenaga kerja dari empat balai bomba.

Hisham berkata penglibatan anggota dalam projek pembinaan rumah tidak menjejaskan persiapan pasukan menghadapi fenomena banjir yang dijangka berlaku di negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/09/jbpm-laksana-enam-projek-rumah-di-bawah-nbos/