Jawatan TKM tidak perlu jadi isu perebutan

Ketika ini sudah terdapat suara-suara sinis yang mahukan jawatan terbabit diberi kepada ahli parti lain selain PBB

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Kerusi panas jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) selepas pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak baharu tidak perlu menjadi isu perebutan dalam tempoh berkabung.

Pemerhati Politik Wan Zain Syed Mohdzar berkata ketika ini sudah terdapat suara-suara sinis yang mahukan jawatan terbabit diberikan kepada ahli parti lain selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Dalam tempoh berkabung ketika ini kita tidak seharusnya memikirkan soal perebutan jawatan dalam barisan kabinet negeri sebaliknya biarlah keputusan pengganti jawatan itu diumumkan sendiri oleh Abang Johari,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Wan Zain berkata timbul spekulasi yang mahukan kerusi panas itu diisi oleh wakil rakyat daripada masyarakat Cina seperti yang pernah dilakukan dalam barisan kabinet negeri sebelum ini.

“Kita tidak mahu isu seperti ini memecahbelahkan perpaduan kaum di kalangan rakyat padahal pada waktu ini kita masih lagi berkabung dengan pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem,” jelasnya.

Menyentuh isu rombakan kabinet katanya, rakyat tidak harus memberi tekanan kepada pentadbiran Abang Johari untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan itu secara terburu-buru.

“Jika diikutkan sememangnya kerusi itu milik mutlak PBB, sehubungan itu kita harus memberi kepercayaan kepada Ketua Menteri keenam itu untuk memilih individu yang layak untuk menyandang portfolio yang dikosongkan itu,” jelasnya.

Bahkan tegas beliau sebarang spekulasi tentang perebutan kerusi itu harus dihentikan bagi memberi penghormatan dalam tempoh berkabung serta membiarkan pucuk kepimpinan tertinggi parti membuat keputusan selebihnya.

Sebelum ini ramai yang beranggapan bahawa jawatan itu akan diisi oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bagaimanapun, sebelum ini Awang Tengah menafikan PBB telah membuat cadangan bagi pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri sekali gus menggantikan jawatan Abang Johari sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/17/jawatan-tkm-tidak-perlu-jadi-isu-perebutan/