Jangan persoal siapa calon

Lebih baik penduduk, penyokong BN fokus kerusi: Rosey

Oleh Clare Cinderella //

MIRI: Penduduk di konstituensi Bekenu harus berhenti menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang layak bertanding mewakili kerusi DUN Bekenu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menteri Muda Pembangunan Keluarga dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Rosey Yunus yang juga ADUN Bekenu berkata, lebih baik penduduk dan penyokong BN fokus terhadap usaha mempertahankan kerusi BN agar ia menang dan terus kekal di bawah tiket BN, demi manfaat serta pembangunan penduduk Bekenu.

“Tiada apa yang perlu dipersoal atau diperkatakan mengenai calon BN untuk kerusi Bekenu, biarlah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem membuat keputusan mengenai calon di kerusi ini (Bekenu) kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Dialog dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Humphrey Allen di Bekenu, Sabtu lalu.

Rosey mahu penduduk di Bekenu saling bekerjasama dan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada calon BN yang dipilih Ketua Menteri bagi mewakili DUN Bekenu.

“Tidak kira siapakah calon akan dipilih Ketua Menteri kelak, yang penting kita memberi sokongan tanpa berbelah bahagi untuk memastikan Bekenu kekal milik BN.

“Ini kerana rakyat Bekenu masih memerlukan Ketua Menteri (Adenan) memimpin Sarawak dan membangunkan negeri ini, khususnya di konstituensi Bekenu,” jelas beliau.

Katanya pengundi harus memberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan BN Sarawak memperoleh majoriti untuk membolehkan BN kembali memerintah negeri ini.

Pada majlis sama juga Rosey turut menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) bernilai RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), gereja dan Biro Wanita di rumah panjang berkenaan.

Daripada jumlah itu, JKKK Rumah Humphrey dan gereja rumah panjang berkenaan masing-masingnya menerima geran bernilai RM10,000.

Manakala Biro Wanita Rumah Humphrey pula menerima geran kerajaan bernilai RM5,000 untuk membiayai aktiviti ahli-ahli wanitanya.

Turut hadir Ketua Kaum Amin Antin, Ketua Kaum Tinggal Bak, Kaunselor Sulaiman Ahmad serta ketua rumah panjang di kawasan setempat.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/13/jangan-persoal-siapa-calon/