Jangan pandang remeh suntikan vaksin rabies


(bharian.com.my) #1

MIRI: Walaupun belum ada jangkitan wabak rabies dilaporkan di utara Sarawak, namun pemilik haiwan peliharaan seperti anjing tidak seharusnya memandang remeh program suntikan vaksin mencegah rabies yang dianjurkan pihak berkuasa tempatan.

Sebaliknya, mereka perlu menggunakan peluang menghantar haiwan peliharaan untuk disuntik vaksin itu, bagi mencegah penularan wabak itu.

Pegawai Veterinar, Jabatan Pertanian Sarawak Bahagian Miri , Dr Sarjem Jinim berkata, langkah pencegahan awal perlu diberi perhatian serius kerana wabak berkenaan sukar dikawal apabila sudah merebak.

“Justeru, kita menggalakkan supaya pemilik haiwan peliharaan agar memastikan haiwan mereka disuntik vaksin rabies,” katanya ketika Program Suntikan Vaksin Rabies di sini, hari ini.

Ketika ini 1,095 anjing peliharaan sudah pun disuntik dengan vaksin itu sejak dilancarkan minggu lalu di sekitar bandar raya Miri.

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan, namun masih banyak haiwan peliharaan perlu mendapat suntikan vaksin rabies.

Antara lokasi suntikan vaksin itu ialah Sekolah Kebangsaan Taman Tunku akan diadakan pada 25 Februari ini diikuti Dewan Suarah Miri (4 dan 11 Mac), manakala di Dewan Dato Permaisuri di bandar Baharu Permyjaya (18 Mac).

Pada program yang sama, Majlis Bandaraya Miri (MBM) turut membuka kaunter khas untuk pemilik anjing supaya memohon lesen.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/02/388190/jangan-pandang-remeh-suntikan-vaksin-rabies