Jangan harap balasan apabila menjadi sukarelawan, kata Mawan

TA01824MIRI: Tindakan segelintir pihak mengambil kesempatan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) termasuk persatuan berpakaian seragam untuk mendapatkan pengiktifaran, nama dan ganjaran, bukan sahaja tidak ikhlas malah mencemari konsep entiti tersebut.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom mengingatkan bahawa NGO adalah pertubuhan sukarelawan dan mereka terbabit dalam apa jua pertubuhan tersebut tidak akan mendapat gaji.

“Tetapi terdapat orang menyertai NGO ini, semata-mata mahu mendapatkan pengiktifaran dan ganjaran, tetapi tidak mampu melakukan kerja yang diamanahkan kepada mereka,” katanya.

Jelasnya, masalah itu kerap mencemari pertubuhan terutama aktiviti pakaian seragam seperti pengakap.

Mawan memberitahu demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Seaboree Sarawak Kali Ke-4 dan Perhimpunan Pengakap Laut Kebangsaan Kali Ke-2 di Marina Bay di sini, semalam.

Jelasnya, kerap kali ibu bapa akan menyalahkan anak mereka dalam pergerakan pengakap apabila anak mereka melakukan kesilapan atau membuat kesalahan.

“Kita perlu berhenti menyalahkan pengakap. Tiada jahat atau buruk dengan pengakap, sebaliknya mereka yang terlibat aktiviti pengakap tidak ada yang mempunyai agenda tidak baik,” katanya.

“Sebenarnya tiada yang salah dengan pengakap. Malah ia bagus untuk semua peringkat umur dan hari ini (perhimpunan) anda lihat pelbagai peringkat, anak lelaki dan perempuan, golongan dewasa hingga datuk dan nenek.

“Masih ada yang aktif dengan pengakap ini kerana mereka berjuang dengan ikhlas,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini di Sarawak sahaja mempunyai keahlian seramai 75,000 pengakap lelaki dan perempuan.

Katanya pengakap mendidik ahlinya untuk berkhidmat dan berjasa kepada masyarakat dan sedia berkhidmat tanpa kenal penat, demi kebahagiaan, kegembiraan orang dan masyarakat yang dibantunya tanpa mengharapkan gaji atau balasan.

Sementara itu, majlis perasmian perhimpunan tersebut telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin serta Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Sarawak Datuk Dayang Morliah Awang Daud.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin yang mewakili ketua pengakap negara, dalam ucapannya berharap Akademi Pengakap Laut Negeri Sarawak dapat menjadi institusi cemerlang dalam bidang pendidikan dan Pengakap Laut di negara ini.

Katanya, Akademi Pengakap Laut Negeri Sarawak yang berpusat di Miri dan Majlis Pengakap Daerah Miri telah banyak berjasa dan menyumbang dalam menjayakan pelbagai kursus bagi para pemimpin Pengakap Laut ke arah menyemarakkan perkembangannya, dengan memberi fokus kepada kepada ilmu-ilmu kelautan dan aktiviti air.

“Pengakap Laut merupakan satu cabang Pengakap Malaysia dan ia mula ditubuhkan di negara ini seawal tahun 1930 dan keadaan geografi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang dikelilingi laut, menjadikan ia amat sesuai untuk penganjuran aktiviti Pengakap Laut,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 300 ahli pengakap mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut yang berlangsung selama tujuh hari di sini, dengan penyertaan datang dari seluruh negeri dan seluruh Malaysia, di samping negara jemputan iaitu Brunei Darussalam, Thailand dan Indonesia yang terdiri daripada tiga pasukan berbeza iaitu dari Pontianak, Sulawesi dan Kalimantan Barat (KALBAR).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/22/jangan-harap-balasan-apabila-menjadi-sukarelawan-kata-mawan/