Jangan guna orang tengah dalam urusan PERKESO

Oleh Borhaniza Ali Basah//

PENGURUS BAHARU: Tan (kanan) menerima surat serah terima tugas yang
disampaikan oleh Hassim yang turut disaksikan Phillip (tengah) di Sibu
semalam.

PENGURUS BAHARU: Tan (kanan) menerima surat serah terima tugas yang disampaikan oleh Hassim yang turut disaksikan Phillip (tengah) di Sibu semalam.

SIBU: Orang awam digesa tidak menggunakan perkhidmatan orang tengah untuk berurusan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terutama berkaitan tuntutan caruman.

Pengurus PERKESO Sibu Tan Phang Chia berkata kebiasaannya pihak ketiga atau orang tengah tidak membantu apa-apa selain hanya ingin mengambil kesempatan terhadap mangsa mereka.

“Tidak ada apa-apa yang mereka (orang tengah) dapat bantu kerana mereka hanya ingin mengambil peluang dan mengenakan pelbagai caj tidak munasabah. Perkhidmatan PERKESO adalah percuma.

“Oleh itu, kami menasihati orang awam supaya tidak menggunakan khidmat orang tengah sekiranya membuat sebarang permohonan atau tuntutan caruman dengan PERKESO,” katanya pada sidang media sebelum Majlis Serah Terima Tugas di sini, semalam.

Tan, 41, merupakan bekas pengurus PERKESO Miri dilantik sebagai pengurus PERKESO Sibu baharu bermula 25 Oktober ini.

Beliau mengambil alih tugas Hassim Ibrahim yang memegang jawatan tersebut selama setahun tiga bulan bermula 1 Julai tahun lalu dan akan bersara pada 24 Oktober ini.

Majlis serah terima tugas antara Tan dan Hassim disaksikan oleh Pengarah PERKESO Sarawak Phillip Sangkan.

Justeru, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan orang tengah, Tan menasihati orang awam terutama pencarum PERKESO agar hadir sendiri ke pejabat PERKESO berdekatan.

“Datang jumpa kami di sini berbincang dengan kami dan kami bantu kamu menyelesaikan masalah berkaitan caruman,” ujarnya.

Sementara itu, Phillip memberitahu bahawa sepanjang tempoh perkhidmatan Hassim di PERKESO Sibu, beliau menjalankan tugas dengan penuh cemerlang dan pelbagai pencapaian dilakukan.

Sehubungan itu, beliau berharap komuniti terutama majikan memberi kerjasama kepada pengurus PERKESO baharu, Tan sama seperti kerjasama diberikan kepada pengurus sebelumnya.

“Kita berharap dapat terus memberi perkhidmatan yang berkualiti kepada majikan dan pekerja,” tambahnya.

Di samping itu, Phillip turut mendedahkan sehingga Januari hingga September lalu PERKESO Sibu membuat bayaran faedah kira-kira RM3.7 juta kepada pencarum mereka.

Manakala laporan kemalangan melibatkan perusahaan dan perjalanan, PERKESO Sibu menerima sebanyak 1,445 laporan sehingga September lalu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/10/22/jangan-guna-orang-tengah-dalam-urusan-perkeso/