Jangan cuma pandang dan senyap

Oleh Rosemaria Buma//

MEMAINKAN PERANAN: Junaidi (kanan) bercakap sesuatu kepada salah seorang pekedai semasa Program Inisiatif ‘Safe Street’ di Pusat Komersil Emart di Miri petang semalam.

MEMAINKAN PERANAN: Junaidi (kanan) bercakap sesuatu kepada salah seorang pekedai semasa Program Inisiatif ‘Safe Street’ di Pusat Komersil Emart di Miri petang semalam.

MIRI: Orang awam diingatkan agar tidak hanya bersikap pandang dan senyap apabila berdepan sesuatu kejadian jenayah atau melihat seseorang berkelakuan mencurigakan sebaliknya terus menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Junaidi Bujang berkata ini penting kerana polis tidak dapat berada di segenap pelosok dalam satu-satu masa memantau setiap perlakuan jenayah.

“Justeru, orang awam perlu memainkan peranan masing-masing dengan bertindak sebagai mata dan telinga kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membanteras kegiatan jenayah di sesuatu tempat,” katanya mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Sri Muhammad Sabtu Osman ditemui pada Progam Inisiatif ‘Safe Street’ di sini petang semalam.

Menurutnya, program itu bertujuan bertemu dengan para peniaga dan pengunjung yang berkunjung ke pusat komersil terbabit.

“Menerusi program ini, kita berpeluang berjumpa dengan para peniaga sambil memberitahu mereka bagaimana cara menjadi mata dan telinga polis.

“Justeru itu, kita turut mengedarkan risalah mengandungi nombor balai polis untuk mereka hubungi sekiranya berlaku sesuatu kejadian jenayah atau kumpulan orang mencurigakan termasuk mereka ingin mengawal kawasan perniagaan di sini,” katanya.

Menurut Junaidi, program inisiatif ‘Safe Street’ merupakan julung kali diadakan di sini tahun ini dan kali ini memberi tumpuan kepada Emart.

Katanya, Emart dipilih kerana bukan hanya tumpuan pengunjung sekitar Miri malah dari Bintulu dan Marudi serta pelawat dari negara jiran, Brunei menjadikan pusat komersil itu sebagai pusat sehenti untuk membeli-belah.

“Setakat ini, kita buat di Emart (Miri) dan kemungkinan akan diperluas ke kawasan lain bergantung kepada keperluan dan peruntukan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, seramai 150 pegawai dan anggota polis terdiri 28 orang Ketua Polis Daerah (KPD) dan 13 ketua jabatan PDRM serta anggota dari Miri turut serta pada program tersebut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/30/jangan-cuma-pandang-dan-senyap/