Jangan cemari Islam dengan imej puak pelampau: TYT

MIRI: Umat Islam harus melindungi imej Islam cinta akan kebaikan, toleransi dan saling menghormati kaum dan agama Iain daripada dicemari imej puak pelampau atau pengganas.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, antara cara menepis imej buruk itu ialah mengukuh hubungan baik sesama Islam dan masya-rakat bukan Islam.

Beliau percaya dengan ke-upayaan seluruh umat Islam dunia mampu menonjolkan cara hidup Islam sebenar termasuk menenggelamkan imej golongan pelampau yang mewakili bilangan terlalu kecil.

“Saya sedih dengan kehadiran puak pelampau yang mengguna keganasan. Kita patut berusaha supaya imej tidak menjadi imej Islam sebenar.

“Islam tidak mengajar untuk membuat kejahatan. Bagi agama Islam, adalah haram dan berdosa besar membunuh atau menyeksa orang,” katanya.

Jelasnya, puak pelampau merupakan jumlah kecil dan tidak sampai satu peratus dalam dunia Islam kerana selebihnya adalah golongan benar-benar mengikut ajaran agama.

“Dalam konteks Sarawak, populasi penduduk Islam meningkat dari 18 ke 25 peratus, mereka diberi kebebasan mengamal ajaran agama dalam suasana aman tanpa pengaruh golongan pelampau,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis wakaf dan pecah tanah masjid baharu Bakam semalam.

Jelasnya, hubungan elok sesama umat Islam dengan kaum lain serta amalan cara hidup mengikut ajaran Islam sebenar berjaya menjadi benteng melindungi rakyat Sarawak khasnya.

Beliau percaya, dengan amalan corak hidup baik, masyarakat Islam akan mendapat lebih penghormatan dari penduduk agama lain.

“Hubungan baik dalam masyarakat penting sekali kerana kita hanya dapat mengamal agama dengan baik kalau hubungan kita dengan orang lain baik. Kalau hubungan kita tidak baik, ia akan menjadi sebaliknya,” katanya.

Kata Tun Taib, keadaan umat Islam di negara bukan Islam amat berbeza berbanding 20 tahun lalu kerana sekarang dibenar berkumpul melakukan aktiviti keagamaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/03/05/jangan-cemari-islam-dengan-imej-puak-pelampau-tyt/