Jambatan Batang Lupar jadi laluan kedua

KUCHING: Jambatan Batang Lupar jika dilaksanakan akan menjadi laluan utama yang kedua di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jelas beliau, ia memandangkan jambatan tersebut adalah terletak di sepanjang jalan pesisir pantai Sarawak yang menghubungkan bandar-bandar pesisir pantai dari Kuching/ Samarahan ke Triso di Betong sehingga ke Miri.

“Jarak jalan pesisir pantai dari Kuching ke Triso, Betong tidak sampai 100km berbanding 240km di sepanjang jalan utama ke Pusa/Triso,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau menambah, setakat ini orang ramai boleh menggunakan jalan utama pertama (Jalan Pan Borneo) dan jalan pesisir pantai Sarawak tetapi perlu menggunakan lintasan feri di beberapa jalan pesisir pantai.

Katanya ia menghubungkan bandar-bandar pesisir pantai seperti Sebuyau di Samarahan ke Triso, Maludam, Pusa, Kabong di Betong sehingga ke Selalang, Tanjung Manis, Matu Daro, Igan, Mukah, Balingian di Mukah, kemudian ke Bintulu dan Miri.

Panjang jambatan ini adalah lebih kurang 5km dan kos pembinaannya adalah lebih kurang RM800 juta.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian sebagai mengulas rancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membina Jambatan Batang Lupar yang akan dilaksanakan secara usaha sama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Najib ketika menyatakan perkara itu pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Bintulu Ahad lepas, memberitahu bahawa perbelanjaan pembinaan jambatan berkenaan ditanggung 50 peratus oleh kerajaan pusat manakala baki 50 peratus lagi kerajaan negeri.

“Ketua Menteri bersetuju. Saya beritahu (Ketua Menteri) Tan Sri Adenan, kalau dapat kita laksanakan projek itu dengan segera,” kata Najib.

Menurut Najib lagi, projek itu memperlihatkan nilai hubungan baik antara Putrajaya (Semenanjung Malaysia) dan Petra Jaya (Sarawak) apabila berada di bawah Barisan Nasional (BN).

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/02/jambatan-batang-lupar-jadi-laluan-kedua/