Jadikan membaca, mengaji al-Quran sebagai amalan: Rosey

MIRI: Amalan membaca atau mengaji al-Quran bukan setakat khatam sahaja namun ia perlu diamal sentiasa termasuk memahami terjemahannya, kata Menteri Muda Solidariti Rosey Yunus.

Beliau berkata penganjuran Malaysia Ngaji di seluruh negara sekurang-kurangnya menjadi pemangkin dan pencetus kepada inisiatif program akan datang dalam menggalak usaha ke arah penghayatan al-Quran.

“Kita mahu anak kita bukan sahaja khatam al-Quran tetapi pada masa sama memahami terjemahan dan menghayati kandungan atau mukjizat al-Quran yang tiada keraguan padanya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Pegawai Agama Islam Miri Ustaz Jamaludin Taim pada Majlis Malaysia Ngaji Peringkat Bahagian Miri di Pustaka Miri semalam.

Rosey menambah, Sarawak mempunyai hampir 30 suku kaum berlainan agama namun semangat perpaduan dan toleransi tidak pernah tergugat dengan provokasi pihak tertentu.

“Saya yakin rakan kita, meskipun berbeza agama, saling menghormati acara keagamaan seperti Malaysia Ngaji sebagaimana kita menghormati acara keagamaan masing-msing,” katanya.

Sehubungan itu, program sedemikian perlu diperluas agar generasi muda bukan sahaja lancar mengaji malahan mendalami kitab suci al-Quran.

Terdahulu dalam ucapannya, Pengurus Wilayah Pustaka Miri Salina Zawawi berkata, program anjuran bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu turut diadakan serentak di seluruh negara.

Objektifnya ialah bagi membina budaya membawa kitab suci al-Quran, meningkatkan kesedaran masyarakat Islam terhadap penghayatan al-Quran serta membina masyarakat berilmu.

“Semangat untuk suatu perubahan cuba dihidupkan melalui pelaksanaan program seperti ini bukan sekadar untuk pengisian aktiviti pustaka, sebaliknya menjadikan ia peringatan dan amalan berterusan untuk kita memperbanyakkan dan menghayati al-Quran,” jelasnya.

Sementara itu seramai 204 pelajar, kakitangan kerajaan dan orang awam telah hadir bagi memeriahkan slot bacaan ayat suci al-Quran secara beramai-ramai semalam.

Program Malaysia Ngaji turut diadakan di 13 masjid dan 22 surau di sekitar bandar raya Miri.

Program Malaysia Ngaji itu bersamaan dengan konsep Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang diadakan setiap tahun sejak 2014 dan telah merekodkan 2,085 orang membaca bersama-sama.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/30/jadikan-membaca-mengaji-al-quran-sebagai-amalan-rosey/