Jabatan Hutan Sarawak perhebat pemantauan: Jack

Oleh Sudan Ajang//

TERIMALAH: Jack (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sapuan sambil
disaksikan Fellow FRIM Dr Lim Fah Hui selaku moderator bengkel.

TERIMALAH: Jack (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Sapuan sambil disaksikan Fellow FRIM Dr Lim Fah Hui selaku moderator bengkel.

MIRI: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) memperhebat pemantauan berikutan rampasan sebanyak 6,273 batang balak haram dianggarkan bernilai RM276,835 sehingga 11 Mei lalu.

Pemangku Timbalan Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan dan Perlindungan JHS Jack Liam berkata turut dirampas ialah kayu batak (2,193 batang), kayu bergergaji (1,581 batang) dan kayu bakau (508 batang).

“JHS juga menyiapkan kertas siasatan membabitkan 36 kes di bawah Ordinan Hutan di samping menahan 51 suspek dan selesai diambil keterangan,” katanya pada sidang media selepas perasmian Bengkel Pembangunan Hala Tuju Nasional Mengenai Perhutanan Sosial di Sarawak di sini, semalam.

Jack berkata, turut dirampas sebuah kapal berkren, lapan lori serta empat traktor dan jentolak.

Bengkel tersebut dianjurkan JHS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Southeast Asian Regional Centre of Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA) dan dirasmikan oleh Pengarah JHS Sapuan Ahmad.

Seramai 60 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat pembalakan hadir pada bengkel tiga hari itu.

Bengkel tersebut bertujuan merangka definisi serta Pelan Tindakan Perhutanan Sosial di Sarawak sekali gus meningkatkan aktiviti perhutanan sosial negara.

Sapuan dalam ucapannya berkata, aktiviti perhutanan sosial bertujuan menghijau dan memulihkan kawasan-kawasan hutan yang terjejas akibat aktiviti pertanian pindah terutama di kawasan hutan kekal supaya menjadi lebih produktif.

“Kerajaan memandang serius peranan disumbangkan oleh perhutanan sosial meningkatkan taraf hidup masyarakat terutama di luar bandar.

“Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia menyarankan supaya definisi dan hala tuju nasional perhutanan sosial diseragamkan.

“FRIM dilantik sebagai penyelaras manakala SEARCA dan Asian Social Forestry Network (ASFN) pula membiayai program pembangunan yang dicadangkan,” katanya.

Antara topik dibincangkan ialah Pembabitan Komuniti dalam Pemuliharaan, Ekopelancongan: Adakah Ia Pilihan Terbaik, Perhutanan Agro: Konsep dan Pendekatan dan Hala Tuju Pendidikan dalam Perhutanan Sosial di Sarawak.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/05/17/jabatan-hutan-sarawak-perhebat-pemantauan-jack/