Isu kapal China di luar perairan Sarawak dalam kawalan - Hishammuddin

HISHAMMUDDIN melihat nama-nama perajurit Iban Tracker ketika melawat Makam Pahlawan Jalan Taman Budaya hari ini. – Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kehadiran kapal pengawal pantai China di luar kawasan perairan Gugusan Beting Patinggi Ali, kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, berada dalam kawalan.

Beliau yakin komunikasi terus antara pihak Kedutaan China di Malaysia dengan kepimpinan negeri Sarawak akan dapat membantu dalam mengukuhkan keyakinan rakyat Sarawak yang bimbang dengan kehadiran kapal itu.

Dalam pertemuannya dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dua hari lalu, Hishammuddin berkata, beliau sudah memaklumkan akan cuba mendapatkan Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang untuk mengunjungi Ketua Menteri tidak lama lagi.

Katanya, beliau telah mengarahkan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk menghubungi kedutaan China bagi mengatur perjumpaan itu.

“Malah esok di Sembrong (Johor) saya akan bersama dengan Duta Dr Huang untuk meraikan Tahun Baharu Cina, jadi saya boleh sampaikan pesanan nanti, …jadi jangan bimbang, keadaan berada dalam kawalan,” katanya selepas melawat Makam Pahlawan di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata demikian ketika ditanya mengenai kehadiran kapal pengawal pantai China di kawasan berkenaan yang dikesan sejak dua tahun lalu, yang mengakibatkan nelayan laut dalam tempatan takut mendekatinya.

Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata Malaysia akan terus mengemukakan bantahan diplomatik terhadap pencerobohan kapal pengawal pantai China itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata Malaysia bernasib baik kerana negara bukan sahaja memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, tapi juga dari segi hubungan ‘diplomasi ketenteraan’.

Beliau berkata, menerusi kelebihan ini, ia diharap akan dapat membantu dalam mencari penyelesaian yang baik ketika berhadapan apa juga persoalan yang timbul, kerana menurutnya isu berkaitan geopolitik Laut China Selatan cukup kompleks dan tidak mudah untuk ditangani, apa lagi apabila ia berkaitan dengan kuasa besar.

Hishammuddin kemudiannya beredar ke Hospital Umum Sarawak untuk menziarahi Kolonel (Bersara) Dunstan Nyaring anak Angking, 72, yang juga anak pribumi Sarawak yang pertama berpangkat Kolonel sekitar 1980-an, yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan kuman di kakinya.

Beliau kemudian dijadualkan melawat rumah di bawah skim 1Malaysia Veteran Home Repair (1MVRP) di Kampung Sikog, Padawam, kira-kira 20km dari sini dan bertemu dengan veteran tentera, sebelum menamatkan lawatan kerja tiga hari beliau ke Sarawak. – BERNAMA

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/02/13/isu-kapal-china-di-luar-perairan-sarawak-dalam-kawalan-hishammuddin/