Isu gelandangan akan dibincang lebih mendalam

Kementerian akan mengadakan mesyuarat dengan Timbalan Residen Sosial setiap bahagian: Fatimah

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat akan bermesyuarat dengan Timbalan Residen Sosial di setiap bahagian untuk membincangkan isu gelandangan.

Menterinya Datuk Fatimah Abdullah berkata, mesyuarat itu akan diadakan selepas selesai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung.

“Secara perbandingan boleh dikatakan bahawa isu gelandangan di Sarawak terutama di bandar-bandar utama seperti Kuching adalah minimal.

“Tetapi, saya berminat untuk melihat sama ada isu gelandangan di bandar Kuching ini turut berlaku di bandar-bandar utama lain seperti Miri, Sibu dan Bintulu.

“Justeru, selepas selesai sesi persidangan DUN ini, kami akan bermesyuarat di kementerian melibatkan Timbalan Residen Sosial di setiap bahagian untuk melihat isu ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Mencari Gelandangan di sekitar bandar raya ini malam kelmarin.

Fatimah berkata, masalah gelandangan disebabkan beberapa fakta sama ada kemiskinan atau masalah keluarga.

“Jika seseorang individu itu menjadi gelandangan disebabkan masalah kemiskinan, kita perlu mencari cara mengatasinya,” katanya.

Namun demikian, tambahnya, jika berpunca daripada masalah keluarga, ia boleh diselesaikan dan isu itu harus diselesaikan dari peringkat akar umbi agar tidak ada lagi tangkapan dibuat.

“Hasrat kementerian dan kerajaan amnya adalah untuk melihat bandar kita bebas daripada gelandangan atau sekurang-kurangnya minimal gelandangan.

“Kemudahan Anjung Singgah hanyalah sebagai perlindungan sementara kepada mereka tetapi apa yang lebih penting ialah penyelesaian yang lebih mampan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi gelandangan yang didapati berada di bawah pengaruh dadah, mereka akan diserahkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk pemulihan selama tiga bulan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/12/isu-gelandangan-akan-dibincang-lebih-mendalam/