Industri muzik perlukan pemikiran baharu kreatif

TERBAIK: Gira (lima kanan) bersama finalis yang dipilih pada peringkat separuh akhir ACSJ di Sibu petang kelmarin.

Beri peluang pencipta lagu, penyanyi lahir sesuatu yang menarik minat penggemar muzik

Oleh Watt Zacchaeus //

SIBU: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing menyifatkan industri muzik ketika ini amat memerlukan pemikiran baharu yang kreatif.

Menurutnya, ruang ini memberi peluang kepada pencipta lagu dan penyanyi untuk melahirkan sesuatu yang menarik minat ramai penggemar muzik.

“Golongan remaja adalah kalangan yang sangat meminati muzik dan mereka juga mempunyai kuasa membeli,” katanya menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang ketika merasmikan separuh akhir Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) 2016 di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sarawak Faridah Sulong, Penyelaras Bersama ACSJ 2016 Abdul Khalid Suud dan Simon Suti, Temenggung Stanley Gramong serta tetamu.

Pada peringkat separuh akhir, seramai 23 orang (17 artis solo dan enam berkumpulan) berentap memasuki slot final dijadual berlangsung di Betong pada 3 September depan.

Masing berkata, program ACSJ memberi peluang kepada pencipta menarik minat mereka untuk mendengar muzik tempatan.

“Ini sekali gus dapat menjana pendapatan menerusi jualan album,” katanya yang juga penaung ACSJ (peringkat separuh akhir) 2016.

Tambahnya, rahsia kejayaan pencipta lagu terletak di tangan mereka sendiri melalui gubahan lagu asli yang mempunyai lirik dan melodi menarik serta memenuhi cita rasa pendengar.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan itu memberitahu, penggiat seni/penerbit seharusnya bersyukur kerana setakat ini pemintaan terhadap lagu-lagu Iban memberangsangkan.

“Saya yakin penglibatan Radio Televisyen Malaysia (RTM) khususnya Perkhidmatan Iban WAIfm, MIRIfm, BINTULUfm dan SIBUfm menganjurkan ACSJ bukan sahaja mampu mencapai objektifnya.

“Malah, seluruh masyarakat Iban di Sarawak dan kerajaan negeri mengimpikan RTM sebagai satu badan penyiar eksklusif untuk lagu-lagu Iban/etnik Sarawak selain mewujudkan perpaduan dan integrasi kaum berteraskan konsep 1Malaysia menerusi industri muzik,” ujarnya.

Katanya, ACSJ mampu menjadi ikon industri muzik Iban dan menuntut komitmen tinggi semua pihak terutama syarikat rakaman tempatan agar objektif memartabatkan industri muzik Iban bukan retorik semata-mata.

“Manfaatkan rancangan berprestij ini sebagai batu loncatan menghasilkan karya lebih berkualiti, kreatif dan inovatif selari dengan tema ACSJ tahun ini iaitu ‘Lagu Kitai Sada Nyawa Kitai’,” jelasnya.

Sementara itu, Gira turut mengumumkan peruntukan RM30,000 daripada Masing bagi menjayakan ACSJ ini manakala beliau sendiri turut mengumumkan RM5,000 bagi tujuan sama.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/21/industri-muzik-perlukan-pemikiran-baharu-kreatif/