Imigresen tahan 82 pekerja warga asing

BINTULU: Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sarawak menahan 82 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam serbuan di kilang kayu di sini, semalam.

Serbuan kira-kira jam 3.20 petang itu diketuai oleh Timbalan Penolong Penguasa Kanan Imigresen Sarawak, Mehuan Runies, bersama anggota penguat kuasa Imigresen Kuching, Sri Aman, Sarikei, Sibu dan Bintulu.

Jurucakap Unit Komunikasi dan Khidmat Korporat Imigresen Sarawak berkata, seramai 520 warga asing bekerja di kilang terbabit, disaring dalam serbuan itu.

Hasil siasatan lanjut, katanya, 82 warga asing ditahan antara lain kerana dikesan melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang dokumen kebenaran untuk tinggal di negara ini.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati ada warga asing bekerja di kilang papan itu menyalahgunakan permit pelancong untuk masuk ke negara ini sebelum bekerja tanpa permit, selain tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, warga asing yang ditahan kemudian dihantar ke Depoh Imigresen Bekenu di Miri untuk siasatan lanjut.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)© Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen tinggal di negara ini, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial, dan Seksyen 15(1)© Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

Selain itu, katanya, seorang saksi yang bekerja di kilang berkenaan diberikan borang saman supaya boleh dipanggil untuk membantu siasatan lanjut.

"Imigresen akan terus meningkatkan pemeriksaan dan operasi bagi mengesan warga asing melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen, terutama di kilang dan ladang kelapa sawit yang sering menjadi pilihan mereka.

“Majikan diberi amaran untuk tidak menggaji pekerja asing tanpa permit kerana mereka juga bakal dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/02/385788/imigresen-tahan-82-pekerja-warga-asing