Ibu bapa dinasihati daftar anak OKU dengan PDK

KREATIF: Dennis (empat kanan), Anyi (tiga kanan) dan Elizabeth (dua
kanan), ketika melawat pusat pameran kraf tangan sempena Hari Terbuka PDK Eda
Beran.

KREATIF: Dennis (empat kanan), Anyi (tiga kanan) dan Elizabeth (dua kanan), ketika melawat pusat pameran kraf tangan sempena Hari Terbuka PDK Eda Beran.

MARUDI: Ibu bapa mempunyai anak-anak kurang upaya (OKU) dinasihati mendaftar anak mereka dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Eda Beran di Long Laput supaya anak-anak mereka terpelihara dan dididik dengan baik oleh guru-guru terlatih.

Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau menggesa ibu bapa supaya bersikap terbuka dan lebih prihatin kepada anak OKU dan berharap agar orang ramai bersama-sama menghulurkan bantuan yang diperlukan.

“Orang istimewa bukanlah mahu dilahirkan seperti keadaannya ini tetapi adalah kehendak Tuhan. Maka kita orang biasa ini harus membantu mereka dalam apa juga bantuan diperlukan.

“Justeru, kita harus membantu golongan istimewa ini termasuk warga tua sejajar dengan gesaan kerajaan melahirkan masyarakat penyayang dan slogan 1Malaysia,” katanya pada Program Hari Terbuka PDK Eda Beran Ke-4 di Long Laput dekat sini, kira-kira dua jam perjalanan dari Miri.

Majlis tersebut dihadiri ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Ketua Masyarakat Kaum Kayan Miri Temenggung Elizabeth Deng serta lebih 400 orang OKU dari seluruh Baram.

Sekali lagi, penduduk Eda Beran di Long Laput menganjurkan majlis tersebut, sebagai mendedahkan orang awam dengan keperluan sekali gus meningkatkan kesedaran mereka terhadap peranan dan keperluan kewangan pusat tersebut.

Anyi merayu kepada ibu bapa OKU supaya menghantar anak-anak istimewa mereka ke sekolah kerana pendidikan amat penting dan tidak terkecuali bagi OKU.

Sementara itu, Dennis berharap program itu diteruskan pada masa akan datang bagi memberi pendedahan kepada penduduk di Baram akan kewujudan pusat tersebut dan mereka menghantar anak-anak OKU ke pusat itu.

Beliau mengakui sebagai sebuah PDK terletak di kawasan luar bandar adalah sesuatu yang amat mencabar bagi mereka bukan daripada aspek kemudahan dan pengurusan tetapi aspek kewangan.

Justeru, program itu dapat meningkatkan kesedaran penduduk untuk bersama-sama menyumbang kepada pusat tersebut sama ada dari segi kewangan, fizikal mahupun moral.

“Pada awalnya tidak banyak kampung memiliki PDK namun di bawah pimpinan pengerusinya yang aktif, Temenggung Elizabeth Deng maka semakin ramai sedar dan terbuka menerima program ini.

“Kita juga berterima kasih kepada kerajaan pusat dan negeri kerana sudi membantu PDK Eda Beran dan galakan serta semangat ditunjukkan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau yang sentiasa membantu dari segi kewangan dan tenaga,” tambah beliau.

Pada majlis tersebut, Anyi dan Dennis meluluskan peruntukan di bawah projek kecil luar bandar (MRP) masing-masing sebanyak RM10,000 untuk PDK Eda Beran.

Turut diberikan ialah 10 kampit beras untuk setiap OKU yang hadir dan keseluruhannya ialah 4,150 kampit beras disumbangkan 35 orang penderma.

Pada majlis sama, Dennis turut menyampaikan tuntutan insurans kepada keluarga mendiang Jemey Laeng yang diterima oleh ayah mendiang, Laeng.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/26/ibu-bapa-dinasihati-daftar-anak-oku-dengan-pdk/