Hutan simpan untuk masyarakat Penan di Mulu

Rizab Biosfera Magoh diwujud jaga kepentingan Penan yang bergantung hidup kepada sumber hutan

// Oleh Patricia Gari //

RASMI: Sapuan membuka ikatan poster tertera Bengkel Pengurusan Lestari Hutan Kita: Mempromosikan Perkongsian Faedah Bersama Kubaan-Puak FMU Sarawak dan FMU 5 Sabah.

RASMI: Sapuan membuka ikatan poster tertera Bengkel Pengurusan Lestari Hutan Kita: Mempromosikan Perkongsian Faedah Bersama Kubaan-Puak FMU Sarawak dan FMU 5 Sabah.

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) mewujudkan kawasan hutan simpan di Mulu Sarawak dikenali Rizab Biosfera Magoh untuk menjaga kepentingan komuniti Penan di situ yang bergantung hidup kepada sumber hutan.

Pengarahnya Sapuan Ahmad berkata bagi tujuan itu Unit Pengurusan Hutan (FMU) Kubaan-Puak ditubuhkan demi menjaga kepentingan komuniti Penan yang menetap di sekitar kawasan tersebut.

“Komuniti ini mempunyai perasaan sangat kuat dengan hutan, tempat mereka bergantung hidup. Oleh sebab itu kita bersetuju mewartakan kawasan yang luas dikenali Rizab Biosfera Magoh.

“Kawasan itu sebahagian daripada 360,000 hektar meliputi pelbagai unit pengurusan hutan antara Taman Negara Mulu dan Taman Negara Pulong Tau di Sarawak dan FMU 5 dalam Rizab Hutan Trus Madi di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pengurusan Lestari Hutan Kita: Mempromosikan Perkongsian Faedah Bersama Kubaan-Puak FMU Sarawak dan FMU 5 Sabah di sini semalam.

Kubaan-Puak merupakan landskap utama menghubungkan Mulu, Pulong Tau dan Taman Negara Gunung Buda yang terletak 17 kilometer dari sempadan timur Taman Negara Mulu di bahagian Miri.

Kawasan-kawasan ini membentuk bahagian integral Inisiatif Koridor Jantung Borneo yang bertujuan mengekalkan landskap menghubungkan Brunei dengan Sabah dan Indonesia melalui Sarawak bagi memelihara kepelbagaian biologi dan melindungi sistem ekologi Borneo.

Sapuan berkata penubuhan kawasan projek itu selaras dengan usaha kerajaan negeri mempromosikan Pensijilan Pengurusan Hutan Lestari.

“JHS sedar pentingnya Estet Hutan Tetap, juga pentingnya Unit Pengurusan Hutan (FMU) kepada aktiviti ekonomi seperti pembalakan, hutan-hutan ini juga sama penting kepada komuniti yang bergantung kepada hutan.

“Komuniti-komuniti ini mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan hutan di mana mereka bergantung hidup.

“Kerajaan negeri maklum kehadiran komuniti Penan di Kawasan Projek Kubaan-Puak, sebab itu kita bersetuju menyediakan kawasan yang luas sebagai Rizab Biosfera Magoh,” jelasnya.

Turut hadir Ketua Bahagian Dasar Perhutanan Antarabangsa dan Eropah di Kerajaan Persekutuan Jerman Matthias Schwoerer dan Ketua Pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia Sarawak Dr Jason Hon serta 31 orang Penan yang tinggal di sekitar Projek Kubaan-Puak.

Sapuan dalam ucapannya turut meminta syarikat konsesi balak di negeri ini menyeimbangi operasi dan mencari penyelesaian mesra apabila berurusan dengan komuniti setempat.

Sapuan berkata syarikat konsesi balak tidak boleh mengetepikan keperluan dan hak komuniti yang tinggal di dalam kawasan pembalakan miliknya.

“Pendekatan seimbang dan penyelesaian mesra amat penting kerana syarikat konsesi balak berkongsi sumber hutan dengan komuniti di situ.

“Pada masa sama untuk mengurang dan menghalang kemusnahan hutan yang seterusnya memberi kesan kepada ekosistem di situ seperti sumber air bersih, makanan, herba atau tumbuhan digunakan sebagai ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya.

Sapuan berkata lokasi dan cara operasi pembalakan harus dilakukan dengan mengambil kira dan keperluan logik komuniti tempatan seiring dengan konsep Pengurusan Lestari Hutan (SFM) diperkenalkan kerajaan negeri.

Mengenai bengkel selama dua hari itu beliau berkata ia bertujuan berkongsi maklumat dan membincangkan keputusan analisis dan penilaian awal lapangan untuk Kawasan Kubaan-Puak di Sarawak dan FMU 5 di Sabah.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/11/27/hutan-simpan-untuk-masyarakat-penan-di-mulu/