Hukuman lebih berat wajar ke atas penjenayah seksual

Kaji semula Akta Kanak-Kanak 2001 ekoran kes Hukcle

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Presiden Global Women Peace Network Malaysia, Dato Sri Doris Brodie bersama badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Kanak-Kanak 2001 ekoran kes pencabul prolifik, Richard Huckle.

Beliau berkata, sudah tiba masanya akta itu dikaji semula bagi menjatuhkan hukuman berat kepada si pelaku sekali gus melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seksual.

“Kita tidak menyangka perkara itu berlaku di negara ini iaitu selama sembilan tahun dari 2006 hingga 2014 sehingga terbongkarnya pencabul prolifik merogol bayi itu di Lapangan Terbang Gatwick,” katanya di sini semalam.

Doris berkata, bagi pihaknya mendapati kes terbabit berlaku di negara ini melibatkan 200 kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual Huckle.

“Saya turut membaca catatan Huckle dalam buku panduannya bertajuk ‘Paedophiles And Poverty: Child Lovers Guide’ dan ayat mengerikan ialah kanak-kanak miskin jauh lebih mudah dipupuk berbanding kanak-kanak Barat kelas pertengahan,” katanya.

Doris berkata, ia adalah kenyataan seseorang yang sedang sakit (Huckle) dan terlalu taksub dengan kecenderungan pedofilia sehingga melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak tanpa dihidu atau dikesan penguat kuasa.

“Dalam kebudayaan kita di Malaysia, kita amat mesra dan melayan tetamu terutamanya pelancong asing dengan baik malah kanak-kanak juga bermain kalangan mereka dengan bebas.

“Bagaimanapun, apabila berlaku kes pedofil British ini di Malaysia maka amat wajar masyarakat kita khasnya di luar bandar berwaspada kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.

Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan harus mencari jalan mendidik masyarakat terbabit perlindungan kanak-kanak.

Menurutnya, menganjurkan program pendidikan seperti ceramah, seminar dan sebagainya dilihat amat perlu bagi menerangkan ibu bapa atau penjaga berkaitan perlindungan kanak-kanak secara menyeluruh.

“Kita tidak mahu kes Huckle ini berlaku lagi pada masa akan datang dan adalah lebih baik kita sentiasa berwaspada dan memberi didikan kepada masyarakat tentang soal keselamatan dan perlindungan kanak-kanak,” jelasnya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/09/hukuman-lebih-berat-wajar-ke-atas-penjenayah-seksual/