Hotel Pullman mercu kemegahan terbaharu Miri

Hotel mewah lima bintang mampu memodenkan wajah Miri Waterfront menjadi destinasi pelancong

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Hotel mewah jenama antarabangsa bertaraf lima bintang, Pullman di Miri Waterfront adalah kemegahan terbaharu bandar raya Miri selain berupaya memodenkan wajah Miri Waterfront sebagai destinasi kunjungan penduduk dan pelancong.

Majlis praperasmian hotel di bawah Kumpulan Hotel Accor dari Perancis itu telah diadakan semalam sebagai tanda bermulanya operasi hotel.

Ia disempurna bersama Pengarah Urusan Interhill Group, Datuk Hii Chang Pee, Pengarah Eksekutif Interhill Group, Datin Lau Ngok Yung Pengarah Unique Harvest Sdn Bhd, Albert Hu, Pengarah Urusan Naim Holdings Berhad, Datuk Hasmi Hasnan, Naib Presiden Operasi Upscale dan Midscale Hotel Accor Malaysia dan Indonesia Michel Vivier dan Datuk Bandar, Lawrence Lai.

Simbolik perasmian ialah memotong reben di pintu masuk utama hotel diiringi tarian singa dan bunyi mercun.

“Setelah lebih 10 tahun, Miri mempunyai hotel lima bintang baharu, berdiri megah di lokasi ideal menghadap Laut China Selatan. Hotel ini akan menjadi tarikan baharu serta kemegahan untuk Miri, “ jelas Lawrence.

Beliau mengucap tahniah kepada Kumpulan Syarikat Interhill, Unique Harvest Sdn Bhd dan Kumpulan Hotel Accor atas kejayaan memberi mercu tanda baharu untuk Miri sebagai bandar raya pelancongan.

Pullman memiliki 328 bilik luas dilengkapkan dengan ciri `signature’ Hotel Pullman, peralatan teknologi terkini dalam setiap bilik serta restoran inovatif pasti akan memberi kepuasan kepada pelanggan tempatan dan antarabangsa.

“Pembukaan hotel ini juga komitmen dan mesej kuat terhadap potensi besar industri pelancongan di Miri. Ia juga menunjukkan golongan usahawan di sini mempunyai keyakinan dan kepercayaan tinggi terhadap kerajaan dan bandar raya Miri,” jelas Lawrence.

Ketua Pegawai Operasi Hotel Accor di Malaysia, Indonesia dan Singapura, Garth Simmons berkata, Pullman Miri adalah cawangan kelima di Malaysia dan kedua di Sarawak melibatkan kerjasama antara Accor dan Interhill.

“Jenama Pullman merupakan jenama hotel lima bintang paling pantas membangun di dunia sejak bermula enam tahun lalu. Sekarang terdapat sebanyak 110 rangkaian Hotel Pullman seluruh dunia dan akan terus membangun. Lebih banyak rangkaian akan ditubuh di Malaysia, “ jelasnya.

Beliau memberitahu, pembinaan hotel bukan sahaja memanfaatkan ekonomi tetapi juga melibatkan emosi penduduk menjadikan mereka gembira dengan menawarkan peluang pekerjaan dan kemegahan.

Pengurus Besar, Michael Weiss berkata, beliau akan memastikan Pullman Miri akan menjadi rangkaian hotel terbaik selain melakukan terbaik menjadikan Pullman sebagai kebanggaan penduduk Miri.

Hotel setinggi 24 tingkat ini yang terletak di pusat komersil Waterfront adalah merupakan bangunan tertinggi di Miri.

Antara kemudahan disediakan ialah Dewan Grand Ballroom, Dewan Junior Ballroom , lima bilik majlis, restoran hotel mewah Pullman Kitchen, dan kafe Le Cafe by Pullman.

Bakal dibuka Drinking Ape Bar & Lounge, Splash Pool Bar dan Executive Lounge termasuk menyediakan kemudahan kesihatan seperti pusat kecergasan, kolam renang infiniti, kolam renang kanak-kanak, jakuzi, sauna serta pusat refleksologi dan spa.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/04/02/hotel-pullman-mercu-kemegahan-terbaharu-miri/