Hospital swasta digesa kerjasama taja doktor pakar

TERTARIK: (dari kiri) Hamed, Amiruddin,Hasnan, Dr. Sim, Dr. S Subramaniam
dan Lee melihat reka bentuk KPJ Miri Specialist Hospital yang akan dibangunkan
di Bandar Baru Permyjaya.

TERTARIK: (dari kiri) Hamed, Amiruddin,Hasnan, Dr. Sim, Dr. S Subramaniam dan Lee melihat reka bentuk KPJ Miri Specialist Hospital yang akan dibangunkan di Bandar Baru Permyjaya.

Pastikan mereka mempunyai sumber tenaga pakar mencukupi, kata Dr Subramaniam

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Hospital swasta digesa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memberi tajaan melatih lebih ramai doktor pakar berkhidmat di hospital awam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S Subramaniam berkata, ini bagi memastikan mereka mempunyai sumber tenaga pakar mencukupi sekali gus dapat membantu kementerian mengurangkan kos latihan.

“Kebanyakan pakar dalam sektor swasta dilatih kementerian, selepas dilatih dan dapat pengalaman tinggi mereka lepaskan kita untuk mencari pendapatan lebih baik.

“Bagaimanpun, dalam ekonomi terbuka, kementerian tidak dapat menghalang perkara ini. Tapi satu cara boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak ialah melalui perkongsian tajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah KPJ Miri Specialist Hospital di Bandar Baru Permyjaya, semalam.

Dr. Subramaniam menambah, bawah kerjasama ini doktor pakar tersebut akan berkhidmat dengan hospital kerajaan dan selepas tempoh tertentu boleh berhenti berkhidmat di hospital swasta.

Katanya, buat masa ini doktor pakar hospital kerajaan dibenarkan menggunakan separuh masa untuk berkhidmat di hospital swasta.

“Ini bagi memastikan mereka dapat menambah pendapatan dan pada masa sama kementerian dapat mengekal mereka dalam sistem,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Subramaniam menambah kos keseluruhan menyediakan perkhidmatan kesihatan setakat ini mencecah RM45 bilion.

“Daripada jumlah itu, sektor awam membelanjakan RM23 bilion manakala sektor swasta RM22 bilion. Ini bermakna 46 peratus kos menyediakan perkhidmatan kesihatan ditanggung oleh sektor swasta.”

“Peranan sektor swasta ini secara tidak langsung membantu kerajaan menanggung kos dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya.

Mengenai pembukaan KPJ Miri Specialist Hospital di sini, Dr Subramaniam menambah ia bakal menjadi produk pelancongan kesihatan di Miri.

“Hospital KPJ Miri mempunyai peluang sebagai tarikan pelancongan kesihatan kerana terletak berhampiran Brunei dan Kalimantan di Indonesia. Melalui perkhidmatan baik dan kepakaran tinggi ia dapat menarik ramai pelancong ke sini.

“Saya diberitahu hospital ini mempunyai unit bantuan kebakaran. Ini satu keperluan khususnya di Miri berkembang pesat dengan industri minyak dan gas,” katanya.

Beliau menambah, pelancong kesihatan menyumbang sebanyak RM700 juta pada tahun lepas dan jumlah ini dijangka mencecah RM1 bilion pada tahun ini.

Terdahulu Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, Hospital KPJ Miri ini kelak akan berkapasiti hampir 200 katil.

Ia dibangun dengan kerjasama Naim Holdings mengambil langkah proaktif untuk membina sebuah hospital pakar yang lengkap, moden dan mengikut piawaian antarabangsa.

Amiruddin menambah, hasilnya sebuah hospital tujuh tingkat terletak dalam kawasan perbandaran Bandar Baru Permyjaya semakin berkembang maju.

“Ia akan siap dibina pada tahun 2017 dan dibuka kepada orang ramai pada tahun berikutnya. Pelaburan keseluruhan bernilai lebih RM100 juta, merangkumi kos pembangunan, peralatan dan tanah.”

“Dengan perkhidmatannya yang komprehensif, hospital ini akan menawarkan perkhidamtanya kepada komuniti di luar kawasan Miri iaitu sehingga ke Bintulu, Limbang dan seluruh Sarawak,” katanya.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr. Penguang Manggil, Pengerusi Kumpulan Syarikat Naim Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat NAIM Datuk Hasmi Hasnan, Naib Presiden Kanan Johor Corporation Aminudin Dawam, Residen Miri Antonio Kahti Galis dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/26/hospital-swasta-digesa-kerjasama-taja-doktor-pakar/