Hospital Sri Aman beroperasi tahun depan

LUBOK ANTU: Projek pembinaan Hospital Sri Aman yang hampir terbengkalai diberi nafas baru dan dijadual siap serta mampu beroperasi sepenuhnya Jun tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang meninjau projek itu berkata, pembinaan projek itu sudah memasuki peringkat kerja mekanikal dan kejuruteraan.

Beliau berkata, ia termasuk kerja pemasangan bahagian dalaman bangunan yang akan mengambil masa lapan hingga 10 bulan.

“Struktur bangunan hospital itu sudah pun siap dan kontraktor bagi projek itu sudah diberi dua kali lanjutan masa selama 460 hari oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

“Apabila kerja mekanikal dan kejuruteraan selesai dilakukan, kementerian akan mengambil alih hospital terbabit bagi tujuan ujian dan pentauliahan untuk memastikan semua operasinya berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau berkata, keseluruhan proses ujian dan pentauliahan terbabit akan berlangsung selama enam bulan.

Terdahulu, beliau turut melakukan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Klinik Kesihatan Lubok Antu (Jenis 4) yang baharu bertempat di bilik taklimat Klinik Kesihatan Lubok Antu Lama.

Boon Chye berkata, sebuah Klinik Kesihatan Jenis 2 akan dibina di kawasan Miri, Tabuan Jaya (Kuching), Serian, Siburan, Semalau (Sarikei), Nanga Kemaleh (Julau), Long Napir (Limbang) dan Simpang Bukut (Mukah).

Sementara itu, Klinik Kesihatan Jenis 3 dan 5 yang sudah dilulus dan sedang dalam proses tender. Ia akan dibina di kawasan Lawas, Long Busang (Belaga), Semok (Mukah), simpang Simunjan dan Long San (Baram).

Source: https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2020/01/646939/hospital-sri-aman-beroperasi-tahun-depan