Hindari kampung daripada unsur negatif

JKKK perlu komited bantu usaha kerajaan pertahankan keharmonian masyarakat: Lee

Oleh Connie Sylvia Mesa //

MIRI: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diingat terus menjaga keharmonian kaum dan perpaduan di kampung masing-masing daripada ancaman unsur negatif.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata, komitmen itu penting membantu usaha kerajaan Sarawak melindungi keharmonian sedia ada.

“Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem komited memelihara dan menjaga keharmonian kaum serta agama di Sarawak daripada fanatik atau pelampau perkauman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada penduk Kampung Katong Lopeng selepas meninjau projek laluan titi di kampung berkenaan semalam.

Jelasnya, JKKK perlu memain peranan sama bagi melindungi kampung serta masyarakat daripada anasir luar negatif.

Lee turut mahu JKKK terbabit untuk mengharamkan mana-mana pihak yang disyaki membawa agenda melampau daripada memasuki kampung mereka.

“Jika terserempak dengan mana-mana orang disyaki, anda perlu membuat laporan kepada pihak berkuasa berkaitan dan jangan letak kepercayaan kepada mereka walaua maklumat yang mereka berikan kerana kita tidak pasti daripada mana sumber tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin mahu JKKK memaklum kepadanya mengenai sebarang isu pembangunan atau kebajikan di kampung masing-masing.

Katanya, sokongan serta kerjasama sedemikian diperlukan untuk membolehkan beliau membantu menangani masalah dihadapi penduduk di kampung.

Mengulas mengenai projek laluan titi terbabit, beliau memberitahu projek tersebut untuk mengganti laluan titi rosak lama dan telah siap dilaksana baru-baru ini melalui peruntukan MRP daripadanya.

Lee turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran mengenai keperluan untuk meningkatkan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Ketua Kampung Katong Lopeng, Yakob Mudin.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/01/23/hindari-kampung-daripada-unsur-negatif/