Ops Tutup Sarawak dilancar
KUCHING Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan melancarkan Ops Tutup di seluruh bahagian di negeri ini bermula hari ini sehingga 30 November ini.
Pengarah JPJ Sarawak, Abdul Hamed Akob berkata, operasi selama 12 jam sepanjang tempoh tersebut adalah pertama kali diadakan dengan melibatkan penyertaan 146 anggota penguat kuasa dari seluruh negeri ini.
Beliau berkata, Ops Tutup bermula pada pukul 6 pagi hingga 6 petang itu akan diselia oleh penyelia operasi JPJ dari Semenanjung.
"Antara lokasi-lokasi sekatan jalan raya dan rondaan ialah Stesen Penguat kuasa (SP) Skaloh di Miri, SP Stapang (Sibu), SP Serian, Bintulu berhampiran Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd., (Puspakom).
“Selain itu, Ops Tutup akan diadakan di Simpang Bulat (Sarikei), Jalan Bako-Sejingkat (Kuching) dan Jalan Outering (Kota Samarahan),” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Abdul Hamed berkata, Ops Tutup akan menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang di bawah Seksyen 19 Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (ALPKP 1987) atas kesalahan membawa barang melebihi muatan.
Ujar beliau, operasi tersebut juga akan tertumpu kepada kenderaan perdagangan dan persendirian yang menggunakan lampu hadapan jenis High-Intensity Discharge (HID) atau lebih dikenali lampu xenon.
“Selain itu, objektif Ops Tutup ini ialah mahu mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas semua jenis kenderaan dan melahirkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang pentingnya mematuhi undang-undang jalan raya,” jelas beliau.
Sementara itu, Abdul Hamed mengingatkan bagi kenderaan perdagangan yang membawa lebihan muatan boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 19 (3) ALPKP 1987.
Katanya, bagi pemandu yang didapati mengubah suai lampu kenderaan mereka kepada HID akan diberikan tempoh 10 hari untuk menukar lampu tersebut atau boleh dikompaun sebanyak RM300.
Sumber : Utusan Malaysia Online