HFMD jejas pelancongan

MIRI: Ekonomi Sarawak, terutama di bahagian utara negeri ini dijangka terjejas ekoran penularan wabak penyakit tangan, kuku dan mulut (HFMD) yang semakin kritikal di negeri ini. Ia dikhuatiri menjejaskan perkembangan pelbagai sektor ekonomi, termasuk pelancongan dan perdagangan, lebih-lebih lagi yang bergantung kepada pasaran negara jiran, terutama Brunei. Tinjauan Berita Harian sejak seminggu lalu mendapati berlaku kemerosotan ketara dari segi jumlah kunjungan pelancong negara minyak itu ke negeri ini sejak HFMD mula merebak awal bulan lalu. Di Pos Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, di sini, misalnya suasana agak lengang sejak awal bulan ini sedangkan ia laluan keluar masuk warga Brunei ke Sarawak. Begitu juga keadaannya di Pos CIQ Tedungan, Limbang yang bersempadan Kuala Lurah, Brunei, walhal keadaannya cukup sesak dengan kenderaan dari negara itu sebelum ini.

Statistik Jabatan Imigresen Sarawak menunjukkan, secara puratanya, antara 30,000 dan 40,000 kenderaan Brunei memasuki Sarawak sebulan melalui dua pintu masuk utama itu. Bagaimanapun, jumlah itu menunjukkan penurunan yang agak membimbangkan sejak Februari lalu, di peringkat awal HFMD dikesan mula menyerang beberapa bahagian utama di negeri ini, termasuk Miri. Ketika ini, purata 3,000 kenderaan Brunei memasuki Sarawak dengan anggaran 1,000 kenderaan setiap minggu, sekali gus perangkaan itu membuktikan kemerosotan mendadak kemasukan warganegara itu ke Bumi Kenyalang. Seorang pegawai imigresen di Pos CIQ Sungai Tujuh, yang enggan namanya disiarkan, berkata sepanjang minggu lalu, kurang daripada 1,000 kenderaan Brunei memasuki Sarawak melalui pos sempadan itu.

"Biasanya, dalam tempoh seminggu, ada puluhan ribu kenderaan Brunei memasuki Sarawak atas urusan perniagaan, bercuti dan membeli-belah, termasuk barang keperluan harian kerana di negeri kita harganya lebih murah. “Bagaimanapun, sejak wabak HFMD merebak, termasuk jumlah kematian yang terus meningkat, jumlah kenderaan dan warganegara Brunei ke Sarawak cukup berkurangan,” katanya. Katanya, pada hari tertentu, ada hanya satu atau dua kenderaan yang melalui pos sempadan berkenaan. "Sebelum ini, kita cukup sibuk hingga tidak menang tangan untuk cop pasport dan periksa kenderaan mereka, tapi sekarang cukup sunyi, tidak tahulah sampai bila keadaan ini akan berterusan.

“Mungkin, warga Brunei bimbang dengan perkembangan kes HFMD di Sarawak yang turut mendapat liputan meluas media mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Media Permata, antara akhbar arus perdana di Brunei, melaporkan kerajaan negara itu tidak menggalakkan rakyatnya berkunjung ke Sarawak, terutama di bahagian tengah dan utara negeri ini. Ia sebagai langkah berjaga-jaga, selain kawalan dan pencegahan wabak HFMD yang sehingga kini belum ditemui penawarnya.
Sementara itu, peniaga kraf tangan, Jamil Kupil, 45, ketika ditemui, berkata penularan wabak HFMD turut menjejaskan operasi perniagaan, yang sebelum ini banyak bergantung kepada warga Brunei dan pelancong asing.

"Sebelum ini, saya mampu memperoleh antara RM100 hingga RM150 sehari hasil jualan kraf tangan, tapi sekarang cukup berkurangan, katanya. Seorang lagi peniaga kraf tangan, Cleopatra Alice Daring,60, berkata, sejak awal bulan lalu hasil perniagaannya jauh merosot berbanding sebelum menularnya wabak HFMD. Selain pelancong asing dari Eropah, kebanyakan pengunjung yang membeli hasil kraf tangan saya adalah pelancong Brunei. "Tapi, ketika ini tidak ramai pelancong Brunei masuk ke utara Sarawak dan ini berlaku disebabkan kebimbangan terhadap jangkitan HFMD. Kita harap kerajaan dapat berbuat sesuatu yang positif dan segera membendung wabak ini kerana ia tidak baik untuk sektor pelancongan, katanya. Bagi penduduk Limbang, Wahab Sambas, 69, situasi yang sama berlaku di Limbang apabila pelancong Brunei yang biasanya memasuki daerah itu menerusi Pos CIQ Tedungan merosot mendadak sejak dua minggu lalu. Jika hujung minggu, pos berkenaan akan sentiasa sesak dengan kenderaan, tapi ketika ini hanya beberapa kenderaan yang keluar masuk di sempadan. Situasi ini jika dibiarkan berterusan turut menjejaskan mata pencarian penduduk tempatan, terutama di kawasan pintu sempadan, katanya.

FAKTA NOMBOR

1 juta
Rakyat Brunei ke Sarawak sepanjang 2005

30,000 - 40,000
Jumlah kenderaan Brunei memasuki Sarawak setiap bulan sebelum HFMD merebak

3,000
Kenderaan Brunei memasuki Sarawak sejak bulan lalu

FAKTA
Aktiviti Utama Rakyat Brunei Ke Sarawak:

  • Membeli-belah barang keperluan harian
  • Bercuti terutama pada hujung minggu
  • Mengunjungi rakan dan saudara mara
  • Urusan perniagaan

Apppuuuu…pama2 bala kitai ari Brunei tok… :smiley: