HFMD in Sarawak

HFMD ragut mangsa kesembilan di Sarawak
KUCHING 4 April - Seorang kanak-kanak lelaki menjadi mangsa kesembilan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini apabila meninggal dunia hari ini setelah dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Miri sejak semalam.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada hospital memberitahu kematian kanak-kanak berusia satu tahun empat bulan itu.

``Panggilan diterima pada pukul 2.30 petang ini dan kita sedih kerana kanak-kanak itu dihantar ke hospital agak lewat daripada masa yang sepatutnya.

``Semasa dihantar ke hospital, keadaannya sudah serius dan para doktor sendiri melihat kesakitan yang dialami kanak-kanak tersebut,’’ katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Chan, kematian itu merupakan kes yang pertama dicatatkan di Miri.

Sementara itu, beliau memberitahu kes baru yang dicatatkan sehingga pukul 10 pagi ini ialah sebanyak 129 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 7,858.

``Miri mencatatkan 36 kes, diikuti dengan Mukah (33), Sibu (15), Kuching (15), Bintulu (13), dan Sarikei (12).

``Jumlah kes yang dimasukkan ke wad hospital-hospital utama pula ialah 15 kes menjadikan keseluruhan 39 orang yang masih dirawat,’’ katanya.

Sementara itu Chan berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak semalam memeriksa lebih 30 peratus daripada institusi-institusi pra-sekolah di 37 lokasi, di sini.

Berhati-hati

``Daripada 37 buah sekolah yang diarahkan tutup sebelum ini, kira-kira 10 peratus masih diklasifikasikan sebagai tidak bebas daripada HFMD.

``Berikutan itu, kita akan mengumumkan pusat-pusat pra-sekolah berkenaan yang akan diarahkan tutup esok,’’ katanya.

Keadaan itu, kata beliau, menyedarkan semua pihak bahawa langkah penjagaan dan berhati-hati perlu dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa.

Pihak jabatan yang melakukan pemeriksaan, katanya, akan memastikan kanak-kanak yang tidak sihat tidak dibenarkan hadir ke sekolah sebagai langkah berjaga-jaga.

``Walaupun mereka tidak mempunyai tanda-tanda HFMD, kita minta ibu bapa kanak-kanak yang tidak berapa sihat supaya tidak ke sekolah dan tinggal di rumah buat masa ini,’’ ujarnya.

Bagaimanapun, Chan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam negeri berkata, keseluruhan trend HFMD di Sarawak kini telah banyak menunjukkan penurunan.