Hentikan operasi bot asing yang dilesenkan

Ia untuk elak mereka terus bermaharajalela kaut hasil laut secara besar-besaran di perairan tempatan

// Oleh Steve Annuar //

BOT
ASING: Gambar beberapa bot tunda asing di Tanjung Manis yang dipercayai
menunggu untuk dilesenkan.

BOT ASING: Gambar beberapa bot tunda asing di Tanjung Manis yang dipercayai menunggu untuk dilesenkan.

MIRI: Kuasa kerajaan negeri diperlukan untuk menghentikan penyalahgunaan Lesen Laut Dalam C2 kepada bot tunda asing untuk mengelakkannya terus bermaharajalela mengaut hasil laut secara besar-besaran di perairan tempatan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Miri Kaunselor Jamali Basri memberitahu, sekarang terdapat 81 bot tunda asing dari Vietnam, Thailand dan China yang dilesenkan beroperasi tanpa sebarang sekatan.

“Kita minta Kerajaan Sarawak campur tangan dalam isu bot asing yang dilesenkan ini. Pada pandangan kami sebagai nelayan, bot asing inilah punca sebenar kepupusan hidupan laut kita,” jelas Jamali ketika mengupas isu itu semalam.

Demi kepentingan nelayan dan rakyat, kerajaan negeri harus menghentikan pemberian lesen kepada bot asing yang sekarang ini boleh diperbaharui selepas tempoh dua tahun daripada Jabatan Perikanan.

Kegiatan bot asing yang dilesenkan dipercayai aktif sejak tahun 90-an dan dikhuatiri menjadi tidak terkawal sekiranya usaha membendungnya tidak dilakukan dari sekarang.

“Daripada maklumat nelayan kita di Tanjung Manis, sekarang terdapat enam bot tunda asing menunggu untuk mendapatkan lesen mereka. Kesemua bot-bot itu nampak begitu gagah sekali berbanding bot kita,” jelas Jamali semalam.

Tanjung Manis merupakan pusat pendaratan hasil tangkapan dari bot yang dipercayai hanya saki baki daripada hasil sebenar. Ia juga dikenal pasti sebagai `pengkalan’ bot asing yang dilesenkan di Sarawak.

Jamali mendakwa bahawa sebahagian besar tangkapan telah dipunggah oleh bot-bot asing lain semasa di laut sebelum dihantar balik ke negara mereka.

“Hasil-hasil yang baik mereka ambil dan hantar ke negara asal mereka. Yang kita dapat cuma lebihan ikan dan jenis yang kurang baik sahaja,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, setiap bot dianggarkan mampu menangkap sebanyak 50 hingga 60 tan hasil laut dalam tempoh sebulan.

Selain dikendalikan nelayan asing, bot juga menggunakan khidmat pekerja asing yang tahan berada lama di laut berbanding pekerja tempatan.

Nelayan tempatan amat mematuhi peraturan lesen iaitu menangkap ikan dari jam 6 pagi hingga 6 petang selain tidak mengganggu hidupan laut di kawasan batu karang.

“Kerana tiada warga tempatan, bot asing akan meredah mana-mana kawasan yang ada hasil laut termasuk kawasan batu karang.

“Mereka inilah yang sebenarnya merosakkan habitat ikan. Mereka boleh menangkap ikan kita dalam tempoh 24 jam tanpa henti, “ jelasnya.

Jamali berkata rakyat Sarawak berdepan kerugian besar kerana kekayaan khazanah laut yang memberi rezeki kepada nelayan dan sumber makanan kepada rakyat dirampas sewenang-wenangnya oleh orang asing kerana kepentingan sesetengah pihak.

Tanpa lesen, pihak keselamatan akan mudah memantau operasi nelayan asing di laut sekali gus tidak menjejaskan punca rezeki nelayan dan sumber makanan untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/26/hentikan-operasi-bot-asing-yang-dilesenkan/