Helikopter mendarat cemas, dua cedera ringan

MIRI: Seorang juruterbang dan pembantunya cedera ringan dalam kemalangan helikopter di kawasan hutan di Marudi, petang semalam.

Difahamkan, helikopter berkenaan itu terpaksa melakukan pendaratan cemas akibat menghadapi masalah teknikal

Sumber berkata, dua mangsa itu berjaya dibawa keluar dari lokasi kemalangan itu menggunakan jalan darat malam tadi, terus dibawa ke Hospital Marudi bagi mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Ketika kejadian kira-kira jam 5.45 petang, helikopter Bell 206 milik Sabah Air yang dipandu Kapten Mohd Dom Wahab dan pembantunya Muhd Amirul Asraf membuat pendaratan cemas selepas dipercayai mengalami masalah teknikal.

Sebelum kejadian itu, helikopter terbabit berlepas dari Lapangan Terbang Marudi pada jam 4.04 petang dengan lima individu di dalamnya.

Selain juruterbang dan pembantunya, tiga lagi ialah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Selepas menurunkan tiga kakitangan terbabit di Base Camp JUPEM, helikopter berkenaan berlepas semula, namun dikatakan mengalami masalah beberapa minit kemudian.

Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berhubung insiden itu.
Source: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/02/651971/helikopter-mendarat-cemas-dua-cedera-ringan