Hasil produk inovasi demi pembangunan negara

Oleh Rusnan Mustafa//

TERTARIK: Micheal memberi penjelasan ringkas tentang ‘Transeat
Drum’ kepada Wan Izni (duduk) sambil ditemani rakan sekumpulannya. Turut
kelihatan Nor Dalila (tiga kanan).

TERTARIK: Micheal memberi penjelasan ringkas tentang ‘Transeat Drum’ kepada Wan Izni (duduk) sambil ditemani rakan sekumpulannya. Turut kelihatan Nor Dalila (tiga kanan).

KUCHING: Hasilkan produk inovasi yang bukan sahaja mampu dikomersilkan tetapi juga boleh memberi kemudahan kepada rakyat, kata Pengarah Bahagian Akademik dan Pendidikan Berterusan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti Wan Izni Rashiddi Wan Mohd Razali.

Malah, beliau menggalakkan pelajar dan tenaga pengajar Kolej Komuniti di negeri ini bekerjasama dalam menyumbang idea bagi menjayakan agenda sains dan teknologi dengan sentiasa membuat penyelidikan serta pembaharuan untuk membetuk satu ekonomi yang cekap teknologi.

“Harapan saya melalui program hari ini (semalam) akan ada penemuan produk inovasi yang berupaya menyumbang dalam pembangunan dan kelangsungan usaha membangunkan teknologi baharu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan dan penyampaian hadiah Seminar Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi Kolej Komuniti Wilayah Sarawak (inoTECH16) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini semalam.

Sehubungan itu, Wan Izni berkata dengan penganjuran seminar dan pertandingan tersebut, ia adalah satu inisiatif dalam usaha memartabatkan bidang sains dan teknologi.

“Saya percaya program ini dapat menggalak dan mendedahkan warga Kolej Komuniti tentang kepentingan penyelidikan dan inovasi.

“Saya berasa amat gembira melihat ramai peserta di kalangan pensyarah dan pelajar berminat menyertai program ini dan ini menunjukkan petanda baik ke arah menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai budaya kerja warga Kolej Komuniti Wilayah Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Pengarah Kolej Komuniti Mas Gading Nor Dalila Abdul Rahman yang juga pengerusi penganjur dalam ucapannya berkata, sebanyak enam produk inovasi dipertandingkan melibatkan 19 pelajar dari enam Kolej Komuniti Wilayah Sarawak.

“Manakala 10 produk inovasi daripada 23 pensyarah juga menyertai pertandingan ini yang mana terdapat enam kategori bidang dipertandingkan iaitu kejuruteraan, fesyen dan pakaian, pengurusan dan perkhidmatan, makanan dan minuman, pembelajaran dan pengajaran serta teknologi maklumat dan komunikasi,” ujarnya.

Justeru, produk inovasi hasil kreativiti empat pelajar Kolej Komuniti Miri yang bertajuk ‘Transeat Drum’ dinobatkan pemenang pingat emas pertandingan itu.

Cetusan idea pelajar iaitu Muhamad Ali Muslimin, Patrick Ngau Simon Micheal Sabing dan Mohammad Khairul Mohd Yung dengan dibantu pensyarah mereka, Roland Tsok Vui Liang berjaya menarik perhatian juri.

Mengulas lanjut mengenai keunikan kerusi rehat itu, Micheal menjelaskan ‘Transeat Drum’ merupakan kerusi rehat empat dalam satu iaitu satu produk yang mempunyai empat fungsi.

“Pertama kita boleh rehat di kerusi ini dan pada masa sama pengguna boleh mengecas telefon bimbit kerana ia dilengkapi dengan alat pengecas USB.

“Selain itu, kerusi ini dapat menjadi tempat simpanan minuman dan turut dilengkapi alat penyejuk semasa duduk serta radio,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah program tersebut.

Micheal memberitahu, ‘Transeat Drum’ mempunyai reka bentuk yang menarik, bergaya, santai dan fleksibel yang diperbuat dari bahan kitar semula iaitu tong.

Menurutnya lagi, selama 42 hari digunakan untuk tempoh menyiapkan produk inovasi itu ekoran kekangan masa untuk belajar.

“Bagi kos untuk membuat seunit ‘Transeat Drum’ ini pula, ia menelan perbelanjaan RM700 dan jika dikomersilkan harga seunit ini mungkin lebih rendah,” jelasnya sambil menambah selama 42 hari digunakan untuk menyiapkan produk inovasi itu.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/30/hasil-produk-inovasi-demi-pembangunan-negara/