Hari HSE Petronas tingkat kesedaran mengenai ancaman persekitaran

MIRI: Petronas Carigali Sdn Bhd Sarawak Oil, Malaysia Asset (Petronas) buat julung kalinya menganjurkan program Hari Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) 2016 bersama penduduk setempat di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT) terletak Jalan Senadin Kuala Baram di sini, semalam.

Dijalankan sempena sambutan bulan HSE Sarawak Oil, Malaysia Asset yang bertujuan untuk memberikan kesedaran HSE dalam kehidupan harian serta menerapkan nilai sentiasa berwaspada kepada bahaya persekitaran.

Program berkenaan telah disempurna Menteri Muda Pengangkutan, Darat dan Udara Datuk Lee Kim Shin.

Hadir sama ialah Pengurus Besar Kanan Sarawak Oil Aset Petronas Mohd Nazori Janor, Pengurus Kanan Jabatan Terminal Sarawak Oil Petronas Azlan Khalil dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Shell Berhad Simon Durkin.

Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin dalam ucapannya berkata, budaya HSE harus dititik berat dalam kalangan masyarakat dan perlu bermula peringkat awal.

“Usaha dijalankan Petronas ini amat memberi manfaat dan berguna meningkatkan kesedaran keselamatan khasnya kepada masyarakat setempat.

“Setiap hari kita mendengar berita mengenai kemalangan atau musibah berlaku bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Justeru adanya program HSE, ia dapat memberikan pengetahuan di samping meningkat kesedaran mencegah serta mengetahui cara menanganinya,” jelasnya.

Menurut Lee, statistik Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya menunjukkan faktor tertinggi kemalangan adalah disebabkan faktor manusia.

Katanya, kemalangan disebabkan faktor manusia boleh dielakkan sekiranya kesedaran dan budaya HSE dijadikan keutamaan.

Antara aktiviti lain turut diselit sempena sepanjang Hari HSE terbabit ialah ceramah dan demontransi asas bantuan kecemasan serta pencegahan kebakaran, pameran daripada agensi-agensi yang terlibat, pertandingan mewarna dikalangan kanak-kanak serta pertandiangan ‘selfie’ dan ‘wefie.’

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/12/hari-hse-petronas-tingkat-kesedaran-mengenai-ancaman-persekitaran/