Hak Sarawak tentukan kemasukan pekerja luar tidak boleh dipertikai

MIRI: Hak imigresen Sara-wak menentukan kemasukan pekerja luar negeri ini terutama dari Semenanjung Malaysia tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak atau sesiapa pun.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata ini terpulang kepada kerajaan negeri sama ada mahu membekukan atau menyekat premit pekerja dari luar negeri ini bekerja di Sarawak.

Beliau yang menyokong penuh tindakan kerajaan negeri membekukan serta-merta semua permohonan permit pekerja Petronas dari luar Sarawak, turut meminta Petronas menyelesaikan masalah tersebut dengan secepat mungkin bagi mengelak berlarutan dan memberi kesan tidak baik kepada syarikat itu.

“Apa juga penstrukturan yang mahu dilakukan oleh Petronas, mereka perlu mengambil kira kepentingan dan kebajikan pekerja tempatan memandangkan mereka bertapak di negeri ini.

“Jika rakyat negeri ini mempunyai pengalaman luas dan berkelayakan adalah wajar bagi Petronas mengekal-kan dan mengambil pekerja tempatan yang diberhentikan balik bekerja dan bukannya memberhentikan mereka dengan mengambil orang baharu, khususnya dari luar negeri ini bagi menggantikan mereka,” tambah beliau.

Bercakap kepada Utusan Borneo di sini semalam, Lee berkata hanya orang Sarawak lebih mengetahui mengenai keadaan negeri ini termasuk geografinya berbanding orang luar dan pengalaman berharga itu perlu ‘disimpan’ oleh Petronas.

Kelmarin (Ahad), Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri membekukan serta-merta semua permohonan permit bekerja di negeri ini untuk pekerja Petronas dari luar Sarawak.

Uggah menegaskan pembekuan itu dilakukan bagi memastikan Petronas bertindak adil serta telus dalam semua urusannya dengan Sarawak khasnya operasi mereka di negeri ini.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/08/09/hak-sarawak-tentukan-kemasukan-pekerja-luar-tidak-boleh-dipertikai/