Graduan jangan hanya harap makan gaji

Mereka harus menimba pengalaman dan ilmu untuk dimanfaat pada kemudian hari, kata Lokman

Oleh Steve Annuar //

MIRI: Graduan tidak harus membataskan pemikiran untuk kerja makan gaji semata-mata sebaliknya menimba pengalaman dan ilmu untuk dimanfaat pada kemudian hari.

Demikian nasihat Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Lokman Hakim Ali sambil menyatakan bahawa kejayaan bukan setakat merebut peluang pekerjaan, tetapi dimanfaatkan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Kata Lokman, hasil kajian kebolehpasaran graduan, data kebolehpasaran IKBN Miri pada 2015 ialah 92 peratus lebih daripada purata kadar kebolehpasaran nasional sebanyak 90 peratus.

“Ada kalangan bekas pelajar berjaya menjadi usahawan dan pekerja berpendapatan tinggi dengan mengusahakan bengkel kereta, kedai kek, kedai makan dan katering,” katanya pada Majlis Konvokesyen Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Ke-9 di sini semalam.

Jelasnya, kejayaan hasil program transformasi di 20 Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (IKBS) dilaksanakan sejak April 2014.

Sejajar dengan inisiatif ini, IKBN Miri ditetapkan sebagai hab latihan bagi kursus minyak dan gas, automatif dan hospitaliti untuk Sabah dan Sarawak.

Selain itu, IKBN Miri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pelbagai syarikat, antaranya Hotel Meritz, Hotel Imperial, Persatuan Industri Kecil Miri (PIKM), Prisma H.Z Services, Soon Kin Auto Spraying Centre, Timur Miri Engineering Sdn Bhd dan MKI Engineering Services (Sarawak) Sdn Bhd.

Pada tahun ini, IKBN Miri melakar sejarah baharu dengan mengadakan kerjasama strategik dengan syarikat Oceancare Corporation Sdn Bhd dalam bidang minyak dan gas.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, kerajaan menggunakan pendekatan latihan kemahiran dan jatidiri secara holistik untuk membina dan membangunkan modal insan.

“Ia untuk melahirkan belia berpersonaliti unggul dan bersaing di peringkat global serta masih berpegang teguh kepada ajaran agama, budaya dan nilai moral tinggi.

“Menerusi pendekatan latihan secara bersepadu, bukan sahaja menyediakan belia dengan kemahiran teknikal malah turut membina dan mengukuhkan kemahiran sosial mereka bagi menempuh alam pekerjaan,” katanya.

Lokman menambah, untuk membolehkan ekonomi negara terus relevan dan kekal bersaing di peringkat dunia, ia perlu dijana oleh modal insan berkemahiran tinggi, kreatif dan inovatif.

Dalam konteks tersebut, graduan perlu mempunyai daya kreativiti tinggi di samping kemahiran, kesungguhan, keyakinan dan jati diri untuk memenuhi keperluan industri.

Dalam pada itu, majlis menyaksikan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) kepada 479 graduan iaitu 151 dalam bidang automotif, 113 mekanikal dan 215 hospitaliti dan daripada jumlah itu, 329 adalah pelatih lelaki dan 150 perempuan.

Hadir sama Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS Dr Wasitah Mohd Yusof dan Pengarah IKBN Miri Mohd Yusuf Long.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/11/06/graduan-jangan-hanya-harap-makan-gaji/