Golongan belia jangan pinggir pendidikan agama

Penglibatan dalam program keagamaan penting biarpun dunia kini semakin canggih, kata Ahmad Lai

Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Kekurangan penyertaan golongan muda dalam tilawah al-Quran tidak harus dipandang remeh sebaliknya perlu diberi pendidikan agama menyeluruh.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata meskipun masyarakat ketika ini berada dalam dunia teknologi serba canggih, namun ia tidak bermaksud pendidikan agama Islam harus dipinggir.

“Sekiranya golongan belia tidak berminat dalam majlis berbentuk keagamaan atau tilawah al-Quran, kita khuatir pada masa akan datang tiada lagi majlis ibadat seperti ini dianjur kerana tiada penyertaan,” katanya.

Ahmad Lai berkata demikian pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran peringkat Bahagian Miri berlangsung di Dewan Serbaguna Bakam, malam kelmarin.

Menurutnya, al-Quran bukan hanya untuk dibaca atau dihafal sebaliknya ia dapat membentuk personaliti belia ke arah jalan diredhai Allah.

“Kita mahu anak kita bukan sahaja khatam al-Quran tetapi pada masa sama memahami terjemahan dan menghayati kandungan atau mukjizat al-Quran,” katanya.

Al-Quran katanya diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW adalah untuk mengajar dan membawa manusia ke jalan yang benar dan ia adalah satu kitab yang mempunyai mukjizat dan ilmu.

Majlis itu jelasnya dapat membina budaya membaca kitab suci al-Quran, meningkatkan kesedaran masyarakat Islam terhadap penghayatan al-Quran serta membina masyarakat berilmu.

Ahmad Lai dalam majlis sama mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5000 kepada pihak penganjur untuk menganjurkan program sama melibatkan lebih ramai belia.

Sementara itu seramai lapan qari dan empat qariah mengambil bahagian menyaksikan Manshor Jamain dari Permyjaya menjadi qari, sementara Abdillah Paun dari Bakam dan Mukhali Uhi dari Luak masing-masing tempat kedua dan ketiga.

Norliza Chem dari Piasau Jaya pula digelar qaariah, sementara Dara Ali dari Bakam dan Nurul Izzati Mukhali dari Luak tempat kedua dan ketiga.

Hadir sama ialah Pemangku Pegawai Daerah Miri, Sharifah Rafidah Wan Razali yang juga Pengerusi Pengerusi, ketua-ketua masyarakat, kaunselor serta pegawai kerajaan.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/12/28/golongan-belia-jangan-pinggir-pendidikan-agama/