Golongan belia disaran daftar sebagai pengundi

Ini penting bagi menunaikan tanggungjawab dalam proses pembangunan negara pada masa akan datang, kata Laila

// Oleh Mohamad Norhadie Sahari //

MIRI: Ketua Wanita PBB Pujut Laila Mohamad menyarankan golongan belia dan beliawanis berusia 21 tahun agar mendaftar diri sebagai pengundi sebelum tarikh pendaftaran berakhir pada 30 September ini.

Menurutnya, ini penting bagi menunaikan tanggungjawab dalam proses pembangunan negara pada masa akan datang.

Di samping itu, undi juga merupakan mandat diberikan rakyat kepada mana-mana parti politik di negara ini bagi membentuk kerajaan dan seterusnya melaksanakan projek pembangunan.

“Jadilah pengundi ketika diadakan pilihan raya demi menentukan hala tuju pembangunan negara dan kita mahu belia dan beliawanis Bumiputera mengambil peluang mendaftar diri sebagai pengundi,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, masih ada kesempatan bagi mereka yang belum berdaftar sebagai pengundi untuk berbuat demikian seterusnya menggunakan hak mereka pada pilihan raya akan datang.

“Mereka yang ingin mendaftar boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat pos terdekat dan membawa sekali kad pengenalan mereka untuk memudahkan proses pendaftaran,” jelasnya.

Laila berkata proses mendaftar tidak sampai lima minit dan tidak perlu sebarang bayaran, justeru kumpulan sasar disaran mengambil kesempatan mendaftar sebagai pengundi sah.

“Kita amat sedih kerana mereka yang layak mengundi terutama Bumiputera tidak menggunakan hak mereka untuk membuat pilihan bagi menentukan kerajaan semasa pilihan raya,” ujarnya.

Pihaknya sebelum ini agresif mendaftar pengundi baharu dan membawa generasi muda yang layak menggunakan hak mereka menentukan hala tuju negara.

“Kita tahu ada kalangan generasi muda meluahkan pendapat atau pandangan mereka dalam laman sosial namun jika mereka menterjemahkan dalam bentuk undi adalah lebih baik,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/09/27/golongan-belia-disaran-daftar-sebagai-pengundi/