Gempa di Sumatera Selatan, tiada ancaman tsunami

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana 5.3 magnitud berlaku di Sumatera Selatan, 120 kilometer (km) dari barat laut Bengkulu, Indonesia dan 597km barat daya Pontian, Johor, jam 5.15 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi laman web yang dikemas kini jam 5.29 pagi ini melaporkan gempa berkenaan yang berlaku di koordinat 3.4 Selatan dan 101.2 Timur bagaimanapun tidak menimbulkan ancaman tsunami.

“Ini maklumat akhir yang dikeluarkan oleh jabatan berkaitan kejadian gempa bumi ini melainkan jika ada perkembangan lanjut atau maklumat tambahan,” katanya.

Sementara itu, jabatan berkenaan menerusi laman web yang dikemas kini pada jam 6.12 pagi ini memberi amaran ribut petir di Selat Melaka, Condore, Labuan, Reef North, Reef South, Kuching, Sulu dan Palawan dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Ribut petir di perairan Selat Melaka (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Barat), Sabah (Sandakan dan Kudat), Labuan dan Sarawak (Kuching, Miri, Bintulu, Mukah dan Rejang) juga diramal berterusan sehingga lewat pagi ini.

Jabatan itu melaporkan keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (km/j) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian mencecah 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/06/19/gempa-di-sumatera-selatan-tiada-ancaman-tsunami/