Gambaran negatif jejas integrasi nasional - Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. – Foto NSTP

MIRI: Imej Malaysia yang sering diberikan gambaran negatif melalui media sosial dikhuatiri boleh menjejaskan semangat integrasi nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ketika ini, terdapat ‘lambakan’ maklumat mengenai Malaysia, termasuk fakta yang tidak tepat.

“Ada yang baik, ada yang buruk. Jika maklumat yang tidak benar atau separuh benar diuar-uarkan berulang, ia boleh mengikis kepercayaan terhadap pemerintah (Barisan Nasional),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama pemimpin masyarakat dan komuniti perniagaan di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini, malam tadi.

Ahmad Zahid diwakili Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbaninasi Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom, yang mewakili Ketua, Tan Sri Adenan Satem.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata intergrasi nasional perlu terus dipupuk supaya tidak mencetuskan salah faham yang boleh merosakkan hubungan kaum.

Mengenai kemajuan Sarawak, beliau berkata, masih ramai rakyat di negeri lain menggangap Sarawak miskin sedangkan rakyatnya sudah membangun dengan pesat.

Terdahulu, Adenan dalam ucapan alu-aluannya yang dibacakan Mawan, berkata Sarawak memerlukan perhatian lebih daripada pemimpin Persekutuan.

“Kita mahu lawatan lebih kerap dilakukan pemimpin Persekutuan ke Sarawak. Ini memudahkan mereka memahami dan mengenali Sarawak lebih dekat,” katanya.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2015/12/18/gambaran-negatif-jejas-integrasi-nasional-zahid/