Flat pernah korbankan tiga beranak terbakar lagi

MIRI: Semua rumah flat yang kosong dan tidak berpenghuni, terbakar sekali lagi dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku awal petang semalam.

Api yang dipercayai tercetus di tingkat bawah bangunan flat dua tingkat di Permyjaya di sini telah menyebabkan kebakaran sekali lagi sekitar jam 1 petang semalam.

Flat yang sama pernah terbakar pada awal tahun ini dan mengorbankan nyawa tiga beranak.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng dan Penyelamat yang diketuai oleh Ketua Balainya, Eddy Zulkifli Abdullah, telah bekejar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 petang.

Tiada mangsa dalam kejadian kebakaran tersebut memandangkan rumah itu sudah tidak digunakan lagi manakala punca kebakaran masih disiasat.

Bagaimanapun menurut sumber kebakaran mungkin dipercayai perbuatan daripada beberapa orang kanak-kanak yang sering dilihat bermain di rumah kosong berkenaan.

Sementara itu, pihak bomba berjaya mengawal api itu daripada merebak ke rumah penghuni lain di bangunan tersebut dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.39 petang.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/20/flat-pernah-korbankan-tiga-beranak-terbakar-lagi/