Fesyen: Pua kumbu ilham pereka

PEREKA fesyen dari Sarawak, Edric Ong yang tidak asing dengan kreativitinya menggunakan unsur pua kumbu dalam rekaan, memperlihatkan beberapa lagi koleksi rekaan baru dalam gaya mempesona serta lebih memikat. Koleksi rekaan baru Ong dengan gaya anggun menerapkan keindahan dan keunikan tenunan pua kumbu yang terkenal dihasilkan oleh masyarakat Iban di Sarawak, diperagakan pada majlis pelancaran pameran Edric Ongs Dream Cloth di Menara OCB, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sejak mula menerapkan unsur pua kumbu dalam rekaan fesyen pada 1988, anak jati Bumi Kenyalang ini ternyata tidak menoleh ke belakang, sebaliknya semakin intim dengan warisan tradisional itu sehingga mampu menyerlahkan satu kelainan dan identiti tersendiri dalam dunia rekaan fesyen. Percikan keistimewaan terserlah apabila rekaan fesyen ditonjolkan pada hari itu, menyuntik garapan gaya tradisional dan kontemporari sekali gus tidak mustahil mampu diketengahkan di persada fesyen antarabangsa. Dengan hanya bersumberkan bahan semula jadi dan menggabungkan idea berteraskan kebudayaan serta moden, ilham ala Nusantara yang dicipta tampak segar sama ada koleksi pakaian untuk wanita mahupun lelaki.

Rekaan fesyen menggunakan hasil rekaan tekstil sendiri yang mana kebanyakan adalah pembuatan tenunan tangan, lukisan tangan atau cetakan tangan dan disatukan dengan lakaran inspirasi warna celupan semula jadi seperti akar, daun, kulit kayu dan sebagainya daripada hutan hujan tropika, kata Ong. Beliau yang juga pakar tekstil, bermain dengan lakaran seni halus bagi menghasilkan corak dan motif etnik Sarawak pada fabrik digunakan. Gaya inovatif tidak terbatas pada unsur itu saja, sebaliknya bagi menonjolkan hasil kerja seni rekaan fesyen kreatif, beliau menggandingkan rekaan dengan fabrik yang jarang digunakan seperti gentian pisang, linen dan sebagainya. Fabrik lain yang digunakan termasuklah kain kapas bermutu halus, sutera sifon, organza dan juga benang sutera mentah yang ditenun tangan secara khusus. Selain itu, Ong urut mengetengahkan rekaan batik Orang Ulu dalam koleksi baru itu sejajar dengan hasratnya untuk memperkenalkan pelbagai warisan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Penggunaan bahan semula jadi dan penerapan nilai tradisional dalam rekaan disesuaikan dengan gaya masa kini. Cara ini boleh mengekalkan warisan tradisional dalam rekaan dan menggalakkan generasi muda menghargai nilai budaya yang disanjung," katanya yang memberitahu koleksi baru itu juga bakal diperagakan di beberapa bandar terkenal di Amerika Syarikat. Mengenai warna pada rekaan, beliau mengakui kebanyakan ditampilkan adalah warna semula jadi seperti perang dalam pelbagai rona, hitam dan krim. Katanya, teknik celupan asli sebenarnya tidak sekadar menghasilkan warna semula jadi saja sebaliknya boleh menghasilkan tujuh warna pelangi jika diadunkan dengan kreatif. Saya pernah menghasilkan rekaan pakaian dalam rona cerah dan tidak berasaskan warna semula jadi. Bagaimanapun, tidak ramai menggemarinya dan lebih gemar dengan warna semula jadi. Mungkin kerana mereka mahu mengekalkan ciri semula jadi bagi menampakkan impak lebih nyata. Berdasarkan permintaan itulah saya lebih suka menumpukan penggunaan warna semula jadi, katanya berterus terang. Himpunan fesyen pakaian Edric di bawah jenama label EO boleh didapati di beberapa butik terkenal seperti di Aseana Gallery, KLCC dan The Datai Shop di Langkawi.

Source:http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Saturday/Keluarga/20060722091505/Article/