Fasa kedua pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dilancar Sept 2015

KUCHING: Fasa kedua pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dari Tanjung Datu ke persimpangan Lundu hingga Miri akan dilancarkan pada September 2015.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembinaan lebuh raya berkenaan merupakan projek terbesar di negeri ini dengan kos keseluruhan bernilai RM15 bilion.

Fasa pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri melibatkan jajaran sepanjang 43 kilometer (km) dari Simpang Nyalau di Bintulu ke Simpang Bakun dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Manakala fasa kedua akan dilancarkan pada September ini bermula dari Tanjung Datu hingga ke Simpang Lundu dan dari Simpang Lundu ke Miri.

Manakala fasa ketiga akan bermula pada 2018 dari Lawas hingga ke Limbang dan keseluruhannya Lebuh Raya Pan Borneo akan siap pada tahun 2020, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Membina Jalan Empat Lorong dari Bulatan E-Mart, Matang ke Stapok, Batu Kawa, Kuching dan Jambatan Baharu Merentasi Sungai Sarawak di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo turut melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Batu 15 antara Kuching/Serian sepanjang 8km kepada empat lorong dua hala.

Tender untuk projek ini akan dibuka pada Mei depan selepas proses penilaian oleh semua agensi yang berkaitan dengan kos RM80 juta.

Bagi melengkapkan lagi keseluruhan jalan raya di negeri ini kepada empat lorong dua hala, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta daripada kerajaan negeri bagi menghubungkan Jalan Stapok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menurut Fadillah, di bawah projek yang dilancarkan oleh kementeriannya semalam, pembinaan jalan empat lorong ini hanya melibatkan jalan dari bulatan E-Mart Matang ke Stapok, Batu Kawa.

Manakala selebihnya iaitu Jalan Stapok, Batu Kawa menuju ke Lapangan Terbang Anatarabangsa Kuching dan pusat bandar raya adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

Berikutan itu beliau mengemukakan permohonan tambahan peruntukan RM80 juta daripada kerajaan negeri untuk menaik taraf Jalan Stapok kepada empat lorong dua hala sebagai kesinambungan daripada projek ini.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/14/fasa-kedua-pembinaan-lebuh-raya-pan-borneo-dilancar-sept-2015/