BUDI BICARA: Sjn/D Manogaran dan pasangan dari California berada di pekarangan balai selepas membuat laporan polis.
Pasangan California beri peluang, nasihati remaja penuh kekesalan kerana menipu wang mereka.
Oleh Michael Ubam //
SIBU: Seorang remaja lelaki berumur 18 tahun berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya selepas rahsianya menipu wang RM1,000 milik pasangan suami isteri dari Amerika Syarikat pada September lepas terbongkar.
Pasangan berasal dari California dikenali sebagai Bruce Balan, 56, serta isteri, Alene Rice, 52, tampil di Balai Polis Sentral meminta bantuan polis supaya mengiring mereka berjumpa remaja terbabit di kediamannya di Taman Permai.
Diketuai oleh Sjn/D Manogaran Krishnasamy, pasangan tersebut bersama tiga rakan sekelas remaja terbabit berjaya berjumpa dengan remaja dan ayahnya tengah hari semalam.
Ketika ditemui di pekarangan balai selepas perjumpaan itu petang semalam, Bruce merupakan seorang penulis bebas dari California berkata, dia tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan terhadap pelajar tingkatan enam rendah tersebut.
“Sebaliknya, kami ingin memberi nasihat dan peluang kepadanya supaya berubah menjadi seorang yang baik, bukannya mencari wang dengan cara tidak betul,” katanya.
Bruce memberitahu, dia berasa bertanggungjawab untuk meyakinkan remaja terbabit bahawa perbuatan menipu orang adalah tindakan serius di sisi undang-undang malah boleh menghancurkan masa depannya sebagai pelajar.
Pasangan pelancong ini tiba di Bintangor pertengahan September lepas dan sukakan cabaran belayar sejak 10 tahun lalu, tiba di Semenanjung Januari tahun lalu.
Ditanya bagaimana mengenali remaja terbabit, Bruce memberitahu remaja berkenaan dan tiga rakan sekelasnya melawat kapal layar mereka ketika itu.
Setelah mendapati remaja berkenaan seorang baik dan ringan tulang, Bruce dan isterinya menjemput empat sahabat itu menikmati makan malam dalam kapal layar ketika itu.
“Ketika itu, remaja terbabit memberitahu kami mengenai masalah peribadinya secara perseorangan. Katanya, dia kehilangan komputer riba dan meminjam wang RM1,000 bagi membolehkan membeli komputer riba baharu kerana peperiksaan sudah dekat,” katanya.
Bruce memberitahu, remaja tersebut menandatangani surat perjanjian memulangkan wang dipinjam dalam tempoh dua minggu.
Dua bulan selepas itu, semasa berada di Sabah, Bruce menghubungi remaja berkenaan mengenai pembayaran balik.
“Dia kata menyerahkan wang kepada emak saudaranya di Miri. Bagaimanapun, kami dimaklumkan oleh rakan-rakannya yang dia menipu dan semua cerita mengenai komputer adalah bohong, saya tampil ke balai polis minta bantuan,” katanya.
Katanya, hasrat mereka datang ke Sibu selepas menaiki pesawat dari Miri pada Khamis lalu bagi menyelesaikan masalah dengan remaja terbabit.
Perbincangan dan pertemuan itu menemui jalan penyelesaian yang baik apabila bapa remaja terbabit bersetuju memulang balik pinjaman anaknya dalam tempoh dua minggu.
Kesal atas perbuatan yang telah dilakukan, remaja terbabit memohon maaf dengan tangisan kepada pasangan Bruce manakala bapanya masih tergamam kerana tidak sangka perbuatan anaknya sejauh itu.