Empat termasuk dua beranak disyaki terlibat dadah dicekup

MIRI: Empat individu termasuk dua beranak dan seorang wanita diberkas polis pagi kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Tangkapan dibuat hasil serbuan polis di sebuah rumah di Krokop 2 di sini.

Semua suspek berusia antara 24 hingga 51 tahun itu telah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis BSJND Miri diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman telah membuat serbuan ke sebuah rumah yang terletak di Jalan Nilam, Krokop 2 di sini.

Dalam serbuan itu, polis menahan tiga lelaki termasuk dua beranak dan seorang wanita kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek pertama, polis telah menjumpai satu peket plastik lutsinar mengandungi sebiji pil berwarna ungu dipercayai dadah berbahaya jenis ekstasi dengan berat kasar 0.42 gram, satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu dengan berat kasar 0.42 gram dan satu keratan tiub straw juga mengandungi ketulan kristal dengan berat kasar 0.12 gram yang disimpan di dalam poket kanan hadapan seluar jeansnya.

Barang disyaki dadah itu dirampas untuk dijadikan barang kes.

Manakala keempat-empat suspek, dua daripadanya bekerja sebagai seorang tukang masak, seorang pelayan restoran dan seorang pengganggur telah dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing.

Hasil ujian ke atas sampel air kencing keempat-empat suspek menunjukkan kesan positif dadah jenis Amphetamine.

Berikutan itu, mereka telah ditangkap mengikut Sekyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membantu siasatan lanjut polis.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/30/empat-termasuk-dua-beranak-disyaki-terlibat-dadah-dicekup/