Dua warga asing disyaki edar dadah ditangkap di Bintulu

BINTULU: Dua lelaki warga Indonesia dicekup pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Bintulu kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran dadah di hadapan sebuah kedai di Jalan Masjid pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zailanni Amit berkata, kedua-dua lelaki yang ditangkap masing-masing berusia 20 dan 19 tahun berasal dari Sambas, Indonesia.

Turut dirampas daripada kedua-dua lelaki itu ialah dadah jenis syabu dengan berat 6 gram dianggarkan bernilai RM1,500 dan 0.3 gram bernilai RM50.

Katanya kedua-duanya ditangkap masing-masingnya di bawah Seksyen 39A(2) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, menurut fakta kes kedua-dua lelaki terbabit didapati dalam keadaan mencurigakan sebelum penangkapan dilakukan ke atas kedua-duanya di hadapan sebuah kedai di Jalan Masjid pada jam 11.23 pagi kelmarin (4 Januari).

“Hasil pemeriksaan ke atas lelaki pertama telah menjumpai satu kotak rokok dalam poket hadapan sebelah kiri seluar jeans pendek dipakai suspek dan di dalamnya dijumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan ke atas lelaki kedua pula turut menjumpai satu kotak rokok dalam poket hadapan sebelah kanan seluar jeans dipakai dan di dalam kotak itu tersebut dijumpai satu keratan tiub straw berwarna kekuningan berisi ketulan kristal juga disyaki dadah jenis syabu,” katanya.

Pengadu kes terbabit ialah Inspektor Mohd Shafiee Kamiri dan dikendalikan oleh pengawai penyiasat Sarjan David Matthew Tandang.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2017/01/06/dua-warga-asing-disyaki-edar-dadah-ditangkap-di-bintulu/