Dua lelaki ditahan disyaki terlibat dadah

Originally published at: http://miricommunity.net/2015/08/26/dua-lelaki-ditahan-disyaki-terlibat-dadah/

MIRI: Dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah diberkas polis dalam serbuan di dua tempat berasingan semalam.

Berikutan itu, kedua-dua suspek berusia 39 dan 32 tahun masing-masing dari Taman Hillstone Lopeng dan Tusan Fasa 1 di sini telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, dalam kes pertama, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman telah membuat serbuan ke sebuah rumah terletak di Taman Hillstone, Lopeng di sini.

Dalam serbuan dilaku sekitar jam 10.30 pagi itu, polis menahan seorang lelaki untuk tujuan pemeriksaan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Semasa pemeriksaan dilakukan, polis tidak menjumpai apa-apa yang menyalahi undang-undang dalam rumah tersebut.

Suspek merupakan seorang penganggur kemudian dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya menunjukkan kesan positif dadah Amphetamine.

Manakala dalam kes kedua, sepasukan polis diketuai Sub-Inspektor Bakar Drahman turut membuat serbuan ke sebuah rumah yang terletak di Jalan Jee Eng Krokop di sini.

Dalam serbuan dilakukan pada jam 12 tengah hari itu, polis telah menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan serupa.

Pemeriksaan juga tidak menjumpai apa-apa menyalahi undang-undang barang dimilikinya.

Justeru suspek dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya turut menunjukkan kesan positif dadah jenis Amphetamine.

Kedua-dua suspek masing-masing telah ditangkap membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan bahan dadah ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.