Dua didakwa bunuh

Oleh Rosemaria Buma//

B16071632

KE MAHKAMAH: Mohamad Fitri (kanan) dan Lie Chang Loon dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pagi semalam dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

MIRI: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret pagi semalam atas tuduhan membunuh pemimpin PKR Cawangan Miri, Bill Kayong.

Mohamad Fitri Pauzi, 29, dari Jalan Bakam di sini telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Bill Kayong.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.20 pagi, 21 Jun lalu di persimpangan lampu isyarat berdekatan pasar raya Emart Tudan, Jalan Miri-Bintulu.

Manakala seorang lagi tertuduh, Lie Chang Loon, 37, dari Taman Pin Fook di sini didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah bersubahat dengan Lee Chee Kiang, 44, dan dua lagi yang masih bebas mengupah Mohamad Fitri Pauzi untuk membunuh Bill Kayong.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan di tempat yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan salah kedua-dua tertuduh direkodkan. Majistret Lovely Natasha Charles kemudian menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala, kedua-dua tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.

Pendakwaan dilakukan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Muhamad Iskandar Ahmad dan dibantu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Poh Yin Tin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguambela Ranbir Singh.

Abun Sui Anyit pula bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.

Semasa tuduhan dibacakan secara berasingan, kedua-dua tertuduh kelihatan tenang sambil mengangguk sebagai tanda memahami fakta tuduhan tersebut.

LikeTweet

Source: http://miri.my/2016/07/16/dua-didakwa-bunuh/