Dua buruh warga asing dipenjara tiga bulan

MIRI: Dua buruh warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini petang semalam kerana kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Marutin Pagan setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam.

Tono, 40, dan Halik Liman Nudeh, 31, kedua-duanya dari Indonesia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh ditangkap jam 1.45 petang, pada 7 April lalu di sebuah tapak pembinaan di Senadin untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tertuduh merupakan warganegara Indonesia yang masih berada di negeri ini setelah pas lawatan sosial dikeluarkan kepada mereka tamat tempoh sah.

Ketika diperiksa, Tono mengemukakan pasport Indonesia dan pas lawatan sosial dengan endorsement terakhir bertarikh 23 Januari lalu yang berlaku sah sehingga 21 Februari.

Manakala Halik mengemukakan pasport Indonesia dan pas lawatan sosial dengan endorsement terakhir bertarikh 8 Mac lalu hingga 6 April lalu.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dihantar pulang ke negara asal mereka sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Miri Muhamad Adnan Marzuki.

Source: http://www.theborneopost.com/2015/04/21/dua-buruh-warga-asing-dipenjara-tiga-bulan/